Hati-Hati Beli Produk Kosmetik Dalam Talian – PMPM

ALOR SETAR — Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) menggesa orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli produk kecantikan serta kosmetik dijual secara dalam talian untuk mengelak daripada sebarang kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Timbalan Presidennya, Azlin Othman berkata ini kerana sesetengah produk dijual itu didakwa tidak menjaminkan kualiti dan keselamatan kerana tiada bukti saintifik kukuh dengan sekadar berdasarkan testimoni pengguna lain yang kemungkinan boleh diedit mengikut kehendak penjual mahupun pengeluar.

“Kita sering kali dengar isu produk kecantikan dijual dalam talian ini ada sesetengah produk dibuat penjenamaan semula, beli secara borong selepas itu dibungkus dengan jenama sendiri…​​​​​​kaum wanita yang saya bimbang kerana mereka mudah terpengaruh dengan produk dalam talian yang kononnya murah dan berkesan.

“Padahal produk murah dan cepat berkesan ini yang banyak beri kesan sampingan seperti kulit melecur, mengelupas serta muka bengkak disebabkan bahan-bahan kimia beracun dalam produk tersebut, seperti hidrokuinon, tretinoin dan merkuri,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Azlin berkata pengguna juga mudah terdedah kepada penipuan dan sikap tidak bertanggungjawab penjual serta pengeluar sekiranya terdapat kesan sampingan berbahaya seperti tiada bukti untuk dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna bagi pengguna yang tidak mempunyai resit pembelian.

Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga November lepas, lebih 10 jenama produk tempatan ditarik balik daripada dijual di pasaran kerana mengandungi bahan terlarang.

Beliau berkata pihaknya juga menerima lebih 100 aduan setakat ini, berhubung kesan buruk penggunaan produk kecantikan seperti krim siang dan malam, krim kunyit, krim pemutih serta krim pencerah kulit wajah yang dibeli secara dalam talian mahupun di kedai kosmetik luar.

Sehubungan itu, Azlin berkata lambakan produk itu ketika ini memerlukan pengguna lebih bijak memilih produk lebih selamat dan tulen dengan cara membeli sama ada di kedai jamu, farmasi ataupun klinik swasta yang mengeluarkan resit dan sekiranya berlaku sebarang kesan sampingan pengguna boleh terus merujuk kepada premis itu.

Beliau, bagaimanapun meminta pengguna membuat semakan terlebih dahulu produk yang hendak dibeli itu dengan melayari laman sesawang Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di bawah Kementerian Kesihatan bagi mengetahui status produk tersebut.

“Pihak berkuasa juga diminta lebih tegas membuat pemantauan berterusan terhadap produk-produk yang wujud sekarang termasuklah kopi-kopi ‘kuat’ bagi kaum lelaki sehingga boleh terkena serangan jantung dan menjejaskan buah pinggang,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open

Close