Tok Bomoh Tak Mahu Belah Perut Buaya

BANGKA, Kepulauan Bangka Belitung – Hasrat penduduk Desa Kimak, mukim Merawang di daerah ini untuk melihat isi perut seekor buaya sepanjang empat meter yang dipercayai membaham seorang penduduk kampung tidak kesampaian apabila pawang buaya hanya memotong kepala dan badan reptilia itu sahaja.

 
Sejurus buaya itu mati pada Rabu lalu, pawang buaya, Mang Syarif bertindak memotong kepala dan badan reptilia berkenaan tanpa membelah perutnya.

 
Bahagian bangkai buaya yang dipotong dua itu kemudiannya ditanam secara berasingan di tebing Sungai Lubukbunter, Desa Kimak.

 
Proses pemotongan buaya hingga penanaman bangkai itu dilakukan Mang Syarif sambil dibantu warga Desa Kimak.
Bagaimanapun tindakan pawang itu untuk tidak membelah perut buaya berkenaan nyata membuatkan penduduk kecewa selepas mendakwa terdapat bahagian tangan dan kaki manusia di dalam perutnya.

 
Buaya itu dipercayai membaham seorang penduduk kampung itu, Sangkuriang @ Siankuri @ Biel, 40, awal bulan ini.

 
Ketua Kampung Kimak, Mustofa berkata, alasan yang diberikan pawang buaya itu untuk membelah perut buaya berkenaan adalah bagi mengikut pesanan tokoh agama Desa Kimak, H. Ilyasak,” kata Mustofa.

 
Oleh kerana itu, Mang Syarif tidak mahu membelah perut reptilia berkenaan atau menunjukkan kepada penduduk isi kandungan haiwan tersebut.

 
“Menurut tokoh agama itu, jika dibelah perut buaya dan ditemukan anggota badan manusia, maka organ tubuh berkenaan perlu ditanam satu liang dengan jasad mangsa,” katanya.

 
Tambahnya, jika ini terjadi, proses itu akan bertambah rumit kerana kubur Sangkuriang perlu dibongkar semula semata-mata bagi menyatukan jasadnya dengan bahagian tubuhnya.

 
Sementara itu, sejurus menanam buaya berkenaan, Mang Syarif meninggalkan Desa Kimak untuk kembali ke kampung halamannya di Desa Bukitlayang Bakam, setelah hampir dua minggu berburu di Sungai Lubukbunter. – Tribunnews.com/Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.