Nurul Izzah Ulangi Rasa Kesal Bertemu Anak Ketua Pengganas Sulu

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengulangi permohonan maaf kepada keluarga mangsa tragedi berdarah di Lahad Datu berhubung kontroversi kunjungannya ke Filipina baru-baru ini.

 

Kesal dengan tindakannya, anak sulung kepada bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak dapat menahan sebak ketika diberi peluang berucap di Dewan Rakyat pada Khamis.

 

“Saya berasa amat kesal dan memohon maaf terutama kepada kesemua keluarga mangsa tragedi Lahad Datu, rakyat Sabah dan rakyat Malaysia secara keseluruhan yang terkesan dan marah akibat gambar tersebut.

 

“Setahun yang lepas saya berikrar akan pertahankan Perlembagaan Persekutaan dan rakyat negara ini terhadap anasir luar dan dalam.

 

“Ingin saya tegaskan…keinginan saya, dan kesediaan saya sebagai Ahli Parlimen untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk pastikan rakyat Sabah yang masih terkesan supaya kedaulatan negara kita tidak dicabul,” katanya dalam nada sebak.

 

Nurul Izzah berkata demikian ketika menyertai perbahasan terhadap usul untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung pertemuannya dengan anak perempuan bekas ketua kumpulan pengganas Sulu, Jacel Kiram.

 

Kontroversi tercetus selepas anak perempuan Jamalul Kiram III itu memuat naik empat keping gambar pada 9 November lepas dalam akaun Facebook yang memaparkan pertemuannya dengan Nurul Izzah.

 

Perkara itu mendapat reaksi kurang senang dari pelbagai pihak di negara ini. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.