Jangan Pura-Pura Pembangkang Tidak Perlu Derma Politik – Zahid

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjawab segala persoalan berhubung dana politik sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

 

Ahmad Zahid menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 4 Ogos lalu telah menjelaskan, wang yang dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak itu bukan daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

“Kerajaan dinasihatkan Peguam Negara, kenyataan yang dikeluarkan tidak wajar diberi, kerana perkara itu masih dalam siasatan agensi berkaitan.

 

“Namun begitu, SPRM juga sudah mengenal pasti penderma dana itu. Bank Negara juga dimaklumkan mengenai pembukaan akaun itu,” katanya di Dewan Rakyat.

 

Menurut Ahmad Zahid, kenyataan yang dikeluarkan itu boleh dianggap subjudis dan menjejaskan perjalanan serta mendatangkan prejudis orang awam terhadap pihak yang menjalankan siasatan.

 

“Dalam sistem demokrasi, amalan derma politik dibenarkan dan diamalkan pembangkang. Jangan pura-pura pembangkang tidak perlu derma, sebab ini bukan perkara baru,” katanya.

 

Jelas Ahmad Zahid, Perdana Menteri telah mencadangkan pembiayaan dana politik dikawal selia sejak 2009, di mana pada 2010, Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah menyarankan parti politik menandatangani ikrar dana politik.

 

“Bagaimanapun, saranan Perdana Menteri berhubung pembiayaan dana politik ditolak pembangkang. Sehingga kini, tidak ada undang-undang khusus pembiayaan politik (digubal).

 

“Isu ini dapat perhatian umum. Tahun ini, kerajaan ketengahkan cadangan asal, kawal selia dana politik dengan menubuhkan jawatankuasa konsultatif, ambil pandangan semua pihak,” ujarnya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.