Isu Keselamatan: Penganjur Skuasy Wanita Dunia Diminta Beri Penjelasan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan penjelasan daripada penganjur Kejohanan Skuasy Wanita Dunia mengenai kemungkinan kejohanan itu ditangguhkan.

 

Perdana Menteri berkata beliau memandang serius laporan media yang mendakwa bahawa kejohanan itu yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 18 Dis di Kuala Lumpur mungkin tidak akan diteruskan atas sebab risiko keselamatan.

 

“KBS Malaysia dan PDRM sila berhubung dengan pihak penganjur dan pihak Professional Squash Association (PSA) untuk memahami keadaan sebenar dan mengatasinya,” kata Najib dalam akaun Facebooknya.

 

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media hari ini yang mendakwa penganjur kejohanan itu, Hallmark Events Group, telah menulis kepada PSA dengan meluahkan rasa bimbang mengenai keselamatan di Kuala Lumpur selepas Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-27.

 

Najib berkata keselamatan rakyat dan tetamu dari luar negara serta kestabilan dan keamanan dalam negara sentiasa menjadi keutamaan Malaysia.

 

Malah, katanya, Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah pelbagai acara persembahan, persidangan, pertandingan sukan dan acara-acara lain pada setiap tahun tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

 

“Baru-baru ini, kita menjadi tuan rumah kepada delegasi-delegasi asing termasuklah pemimpin-pemimpin dunia bagi persidangan dan mesyuarat ASEAN yang telah pun berjalan dengan lancar,” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.