Isu Bertemu Anak Pengganas Sulu: Nasib Nurul Izzah Ditentukan Hari Ini

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, hari ini, susulan gambar pertemuannya dengan anak sulung ketua pencerobohan Lahad Datu, Jacel Kiram yang tersebar baru-baru ini.

 

Mengikut aturan mesyuarat dan usul-usul, usul tersebut akan dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said selepas selesai sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

 

Menurut usul terbabit, tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu merupakan satu penghinaan kepada Majlis Mesyuarat yang turut mencemarkan nama baik dan prestij Dewan Rakyat.

 

“Yang Berhormat Lembah Pantai sedia maklum bahawa Puteri Jacel Kiram menentang kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada negara Malaysia dan sehingga kini masih menuntut negeri Sabah adalah milik Kesultanan Sulu.

 

“Bahawa pertemuan Yang Berhormat Lembah Pantai dan Puteri Jacel Kiram tersebut menimbulkan prasangka negatif dan tidak sensitif terhadap peristiwa pencerobohan Lahad Datu yang telah mencabar kedaulatan negara.

 

“Maka, inilah dipersetujui Yang Berhormat Lembah Pantai hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” menurut usul tersebut.

 

Pada 12 Februari 2013, kumpulan yang dikenal pasti sebagai pengikut Jamalul Kiram III telah menceroboh Lahad Datu, bagi merampas wilayah di pantai timur Sabah.

 

Pertempuran tercetus pada 1 Mac 2013 antara pasukan keselamatan negara dan kumpulan penceroboh, ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo.

 

Susulan itu, dua anggota pasukan keselamatan terkorban dan tiga lagi cedera, manakala 12 penceroboh bersenjata terbunuh.

 

Sehari selepas itu, enam lagi anggota polis terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna dan dua anggota tentera turut terbunuh dalam pertempuran serta kemalangan ketika operasi di Lahad Datu. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.