100,000 Dijangka Hadir Sambutan 50 Tahun FAMA Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan lebih 100,000 pengunjung membanjiri Karnival Jualan dan Pesta Dagangan sempena sambutan 50 tahun Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Dataran Merdeka bermula 4 hingga 6 Disember ini.

 

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sambutan berkenaan diibaratkan sebagai ‘empayar makanan’ yang menghimpunkan petani, penternak, nelayan, penggerak pemasaran barangan pertanian dan asas tani.

 

“Sepanjang penganjuran, mereka akan pamerkan hasil dan aset masing-masing yang bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara pengeluar makanan yang mempunyai kekuatan tersendiri.

 

“Kita mempunyai kekuatan tersendiri iaitu bukan sahaja dari segi barangan dan hasil pertanian tetapi bagaimana proses penghasilan dan pemasaran itu dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan persiapan karnival jualan dan pesta dagangan FAMA, di sini semalam.

 

Yang turut hadir, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ishak Ahmad yang mengetuai lawatan itu sambil memberi penerangan mengenai pelan lokasi.

 

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, kesemua 13 agensi di bawah kementeriannya turut turun padang menyertai karnival berkenaan bagi membuka peluang kepada orang ramai untuk mengadakan jaringan.

 

“Karnival ini akan menjadi medan pertemuan antara pengusaha, penggerak serta mereka yang terlibat dengan pemasaran dan ini merupakan peluang yang baik untuk menjalinkan hubungan perniagaan.

 

“Semua sedia maklum program ini kali pertama dianjurkan, jadi ia memerlukan sokongan orang ramai dan kementerian untuk lebih maju. Ini juga antara usaha FAMA untuk memberi jaminan bahawa sektor pertanian dapat mencipta kekayaan,” katanya.

 

Dalam perkembangan sama, Ishak berkata, lebih 30 memorandum persefahaman (MoU) bakal ditandatangani antara pembeli dalam kalangan pengunjung dengan agensi yang mengambil bahagian.

 

“Kerjasama yang akan dimeterai itu terbuka kepada pembeli dari dalam atau luar negara.

 

“Selain itu, pengunjung yang berminat juga datang dan lihat peluang perniagaan yang boleh diceburi,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.