Rasuah: Penolong Pegawai Tanah Mengaku Bersalah

Ipoh – Seorang Penolong Pegawai di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah bernilai RM7,572 daripada dua usahawan syarikat pasir, tiga tahun lalu.

Muhammad Sharwani Ramli, 35, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukannya di No. 168, Jalan Pasir Puteh, Kinta dekat sini.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela walau bagaimanapun memohon agar hukuman terhadapnya ditangguhkan ke minggu hadapan atas sebab-sebab peribadi.

Hakim Madihah Harullah membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan lelaki terbabit di-ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu sementara menunggu hukuman dijatuhkan pada 9 Disember ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Sharwani didakwa menerima sekeping cek bernilai RM1,500 dengan tiada balasan daripada Hoong Chee Mun yang diketahuinya mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta kira-kira pukul 9.30 pagi, 19 Disember 2011.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima wang tunai RM1,500 daripada Hoong Yoet Ming kira-kira pukul 2 petang, 23 Februari 2012 dan wang tunai RM1,124 daripada individu sama kira-kira pukul 2 petang, 31 Mei 2012.

Tertuduh sekali lagi didakwa menerima sekeping cek bernilai RM1,000 kira-kira pukul 2.30 petang, 14 Jun 2012 serta wang tunai RM2,448, kira-kira pukul 2 petang, 2 Julai 2012, kedua-duanya daripada Yoet Ming.

Kelima-lima pertuduhan tersebut dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mukhriz Mat Rus mengikut Seksyen 165 Kanun Ke-seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ibu tertuduh yang hadir semasa prosiding membayar wang jaminan tersebut.

Menurut fakta kes, tertuduh menerima wang suapan tersebut sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap syarikat, U.C.E Commercial Sdn. Bhd. yang menjalankan perniagaan memindah pasir sejak Disember 2011. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.