PUNB, Bank Muamalat Metrai MoU Untuk Bantu Pembangunan PKS

Shah Alam – Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) bekerjasama dengan Bank Muamalat bagi mewujudkan skim untuk menyediakan jaminan pembiayaan bagi membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Dzulkifli Fadzilah berkata, di bawah kerjasama strategik itu lebih banyak pinjaman disediakan kepada PKS.

“Tahun ini, kami menyasarkan RM290 juta untuk membantu pembangunan usahawan dan di bawah kerjasama ini kami mempunyai RM30 juta sebagai peruntukan awal bagi Bank Muamalat mengeluarkannya kepada PKS.

“Setakat Oktober, 80 peratus daripada keseluruhan peruntukan sasaran telah dikeluarkan bagi membantu membangunkan komuniti perniagaan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman itu di sini, hari ini.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid turut hadir.

Dzulkifli berkata, tahun depan PUNB merancang mengumpul lebih RM300 juta dalam peruntukan untuk pembangunan perniagaan.

Ketua dan Naib Presiden Kanan, Bahagian Perbankan Perniagaan Bank Muamalat, Rustam Apandi Jamaludin berkata, kini keseluruhan pinjaman portfolio untuk PKS adalah kurang daripada 20 peratus.

“Kami berharap peruntukan RM30 juta itu akan menarik lebih banyak PKS menggunakan sepenuhnya bajet berkenaan dan membangunkan perniagaan mereka.

“Peruntukan itu akan ditambah jika permintaan untuk skim berkenaan meningkat,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.