PTPTN Bukan Along – Shamsul

Kuala Lumpur – Pengumuman langkah untuk senaraikan penghutang tegar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mulai 1 Januari tahun depan dibuat setelah 14 pelan tindakan yang dilakukan sebelum ini tidak berhasil.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata langkah drastik tersebut wajar dilakukan kerana masih ada penghutang yang tidak memberi maklum balas kepada perbadanan.

“Kita sudah buat 14 pelan tindakan untuk mengutip balik hutang, antaranya hantar surat peringatan, surat peguam, buat kempen, taklimat, tawarkan diskaun, bagi rebet, senaraihitamkan penghutang serta sekatan imigresen. Tapi masih tak jalan juga.

“Jadi kita terpaksa mengambil tindakan drastik ini dengan menyenaraikan penghutang tegar ke dalam CCRIS. Tindakan ini bukan dibuat terhadap semua penerima pinjaman seramai 2.1 juta orang, tetapi hanya terhadap penghutang tegar seramai 173,985 orang ini sahaja. Itupun kita bagi mereka tempoh sehingga 13 Disember ini untuk datang berunding dengan kita.
“Ada masalah datang jumpa kita. PTPTN bukan along, PTPTN nak tolong. Jadi rakyat semua kena sokong. Pelajar yang ada masalah silalah datang jumpa kita dan berbincang. Kita membenarkan bayaran balik serendah RM50 sebulan walaupun pinjaman itu melebihi RM100,000,” kata Shamsul yang dipetik Agenda Daily.

Kata Shamsul, tindakan meletakkan penghutang tegar dalam CCRIS bukanlah sesuatu yang baru malah ia adalah amalan biasa bagi institusi kewangan.

Malah, katanya, jika seseorang mahu membuat pinjaman di mana-mana institusi bank untuk mendapat pembiayaan rumah, kereta dan sebagainya, maklumat mengenai peminjam akan dirujuk terlebih dahulu kepada CCRIS.

“Sejak ditubuhkan PTPTN sudah memberi pinjaman kepada 2.1 juta pelajar. Pelajar yang bermasalah membayar balik pinjaman ada 500 ribu orang. Wang terkumpul bagi 500 ribu orang ini adalah sekitar RM5.4 billion. Mereka ini tak bayar satu senpun.

Di kalangan golongan ini, yang ‘hard-core’ tak mahu bayar langsung ialah seramai 173,985 orang dan jumlah hutang terkumpul di kalangan mereka berjumlah RM1.23 billion.

“Turut dalam senarai 14 tindakan itu ialah kami bagi diskaun 20 peratus dan kalau mereka bayar secara konsisten selama setahun, kita tolak lagi 10 peratus.

Faedah daripada empat peratus dikurangkan jadi tiga peratus. Daripada sistem konvensional kami tukar kepada hujrah. Memang banyaklah kami sudah lakukan,” ujarnya.

Jelasnya, PTPTN ialah sebuah perbadanan yang ditubuhkan oleh kerajaan yang falsafahnya adalah untuk menyediakan dana bantuan pinjaman kepada pelajar di negara ini yang mahu melanjutkan pelajaran tetapi tidak mempunyai kewangan yang mencukupi.

“Apabila hendak menjayakan falsafah itu kita kena mempunyai kewangan yang cukup. Kami hanya dapat geran kerajaan sejumlah RM55 billion pada peringkat awal penubuhan sahaja.

Selepas itu kami tidak lagi terima dana sebaliknya meminjam dari Institusi Kewangan. Maka, apabila meminjam kita mesti ada aliran kewangan untuk tabung pusingan.

“Jadi isunya, kita sepatutnya telah mengeluarkan RM48.4 billion untuk pembiayaan dan sepatutnya, sehingga 30 September 2014 kita patut menerima kutipan balik sebanyak RM12 billion.

Malangnya dengan pelbagai usaha yang kita buat, orang masih tak nak bayar dan kita hanya dapat pungut RM5.41 billion sahaja, jauh daripada sasaran.

“Masalahnya PTPTN ini macam selebriti. Bila kita nak buat tindakan undang-undang, ia jadi isu politik menyebabkan kita susah nak laksanakan tanggungjawab,” tambahnya.

Menurut Shamsul lagi, PTPTN terikat dengan beberapa kekangan dan akta yang tidak membolehkannya berurusniaga sebagaimana kebanyakan bank dan agensi yang memberi pinjaman pelajaran seperti MARA dan Petronas.

“Ini yang jadi masalah pada kita. Kita perlukan RM5.8 billion setahun. Tetapi kita ini, duit keluar lebih daripada duit masuk.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.8 billion kita perlukan untuk menyediakan kewangan kepada pelajar yang sedang belajar sekarang.

“Jumlah pelajar ini tidak kurang daripada 400,000 orang. Manakala pelajar baru kami anggarkan 200,000 orang, bermakna, untuk mereka sahaja kita perlukan RM1.6 billion setahun. Yang lainnya adalah untuk bayar hutang bank.

“Kerajaan bagi dana masa awal penubuhan pada 1997 sahaja. One-off. Selepas itu PTPTN meminjam dari  institusi kewangan tapi dijamin oleh kerajaan. Masalahnya bila target kutipan tak tercapai, orang masih liat dan degil nak bayar, dan tahun ini pula kerajaan hanya bagi RM4 billion lebih, jadi kita menghadapi masalah kekurangan dana. Bila dana kurang kita terpaksa ambil tindakan-tindakan drastik,” katanya.

Shamsul berkata, dengan berkurangannya dana tahun ini maka langkah terakhir yang boleh PTPTN buat setelah berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Badan Bukan Kerajaan (NGO), wakil pelajar, pakar ekonomi, ahli akademik, bank negara dan Majlis Ekonomi, ialah dengan menyediakan kertas kabinet yang meminta jemaah menteri bersetuju dengan dua tindakan.

“Pertama, kita terpaksa kurangkan bantuan kewangan untuk pelajar-pelajar baru yang berdaftar selepas 1 November 2014 yang dianggarkan berjumlah 400 ribu orang.

Pelajar yang menerima pinjaman sebelum tarikh itu tidak terlibat dengan sebarang pemotongan.

“Bantuan untuk pelajar IPTA dipotong lima peratus dan IPTS pula 15 peratus. Kita harap ini hanya langkah sementara. Harapan kita ialah dengan tindakan-tindakan drastik ini, pelajar yang pembiayaannya terpaksa dipotong akan mendapat kembali duit mereka apabila kewangan kita kukuh semula.”

Menurut Shamsul, PTPTN juga mempunyai program pengecualian bayaran kepada pelajar yang mendapat kelas pertama peringkat sarjana muda.

Katanya setakat ini, PTPTN sudah 22,000 pelajar mendapat pengecualian itu yang bernilai RM601 juta.

“Tetapi wang itu kita kena bayar balik pada bank juga,” tambah Shamsul yang turut meluahkan, bukan mudah untuk menjadi pengerusi PTPTN.

“Inilah dilemma saya, iaitu mengurus sebuah perbadanan yang besar yang dijangka pada lima tahun akan datang memerlukan tidak kurang daripada RM25 billion lagi! Jadi, bukan mudah jadi pengerusi. Saya mesti berusaha untuk meletakkan PTPTN sebagai sebuah perbadanannya bukan sebagai pengutip hutang, tetapi sebagai pembiaya pendidikan.

“Mengutip hutang itu adalah sebahagian daripada tangungjawab kita untuk menyediakan dana.

Kita nak sediakan pembiayaan, kenalah dapatkan balik bayaran. Yang meminjam itu, bayarlah balik kepada PTPTN supaya kita boleh bagi kepada orang lain pula,” ujarnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/12/03/ptptn-bukan-along-shamsul/#ixzz3KnhzSkGi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.