Penganggur Didakwa Ugut Lelaki, Lepas Tembakan

Seremban – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, di sini semalam atas tiga pertuduhan iaitu memiliki senjata, melepaskan tembakan dan mengugut menggunakan senjata terhadap seorang lelaki, bulan lalu.

Mohd Shahril Yahya, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati memiliki senjata satu laras pump gun jenis Mossberrq, tiga butir peluru penabur dan dua butir kelongsong peluru.

Pendakwaan terhadap kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 (Akta 206) dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati melepaskan satu tembakan menggunakan senjata berkenaan yang didakwa di bawah Seksyen 39 Akta Senjatapi 1960 (Akta 206) yang juga boleh dihukum di bawah Seksyen 43 akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama maksimum satu tahun, denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, dia telah menakutkan secara jenayah dengan mengugut mendatangkan bencana iaitu dengan mengacukan senjata terbabit terhadap seorang lelaki yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, mensabitkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Kesemua perbuatan itu dilakukan kira-kira 9.30 pagi pada 17 November lalu di sebuah gerai air kelapa di tepi jalan Kampung Rawa Tengah, Lenggeng, di sini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Kaiyisah Shukri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM5,000 bagi semua pertuduhan dan 23 Disember ini tarikh pengurusan kes.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.