Muhyiddin Pikat Pelabur China Dengan Kelebihan Malaysia

Daripada: Jamaluddin Muhammad

Beijing – Persekitaran perniagaan yang kondusif, rekod prestasi yang baik serta jawatan pengerusi Asean yang akan dipegang Malaysia tahun depan, merupakan antara faktor yang diketengahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menarik lebih banyak lagi pelaburan dan perdagangan China ke Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia adalah antara kumpulan negara pertama yang meluluskan penyelesaian perdagangan dalam renminbi melalui cadangan penubuhan bank penjelasan baru-baru ini.

Langkah untuk memudahkan dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan itu merupakan rangsangan yang besar kepada sektor swasta, kata beliau semasa mesyuarat meja bulat dengan ketua-ketua industri Malaysia dan China di sini pada malam Selasa.

Beliau juga berkata Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) dan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), akan memainkan peranan bagi kerjasama ekonomi dan pemangkin dalam meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Pelabur China boleh mempertimbang untuk melabur di MCKIP, sementara pelabur Malaysia pula di CMQIP,” kata beliau kepada sesi berkenaan yang dianjurkan sempena lawatan rasmi beliau selama enam hari ke China.

Muhyiddin yang tiba di ibu negara China pada Ahad, juga akan melawat Shanghai dan Chongqing.

Pada mesyuarat meja bulat itu, beliau berkata China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan sebagai pasaran penting bagi produk Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai hal ini, beliau berkata perdagangan antara kedua-dua negara berkembang lebih daripada lima kali ganda sejak sedekad yang lalu.

Perdagangan dua hala sebanyak US$64.4 bilion (RM212.5 bilion) dicatatkan pada 2013 berbanding hanya US$14 bilion (RM46.2 bilion) pada 2003, meletakkan Malaysia sebagai rakan dagang kelapan terbesar di China dan yang terbesar dalam kalangan negara-negara Asean.

Kedua-dua negara telah menetapkan sasaran dagangan sebanyak US$160 bilion (RM528 bilion) untuk dicapai menjelang 2017.

“Saya yakin ini boleh dicapai dengan kerjasama kukuh dan kolaborasi dalam sektor perniagaan dan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan masing-masing untuk memudahkan perniagaan,” kata Muhyiddin.

Dari segi pelaburan pula, beliau berkata pelaburan dua hala semakin meningkat dan China kini antara 10 pelabur asing utama di Malaysia.

“Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2014, pelaburan yang diluluskan dari China mencecah US$1.46 bilion, mengatasi angka pelaburan setahun penuh yang diluluskan pada 2013 (US$1 bilion),” katanya.

Muhyiddin berkata, lebih 158 projek pembuatan dengan penyertaan pelabur China telah dilaksanakan, termasuk dalam sektor-sektor seperti elektrik dan elektronik, tekstil, logam asas, industri plastik dan juga jentera dan peralatan.

Selain pembuatan, pelabur China secara aktif melibatkan diri dalam telekomunikasi, pembinaan dan pembangunan hartanah, katanya.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa Malaysia yang menjadi Pengerusi Asean pada 2015, akan memberi manfaat besar kepada komuniti perniagaan China, terutamanya yang mempunyai pangkalan di mana-mana negara Asean.

“Pasaran biasa di bawah Komuniti Ekonomi Asean (AEC) akan bergerak ke arah mengurangkan halangan kepada perdagangan dan pelaburan, menjadikannya lebih mudah untuk aliran barangan, perkhidmatan dan modal, di samping meningkatkan daya saing,” kata beliau.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Bank of China (Malaysia) Berhad.

MoU itu, antara lain, membolehkan bank merujuk pelaburan langsung asing berpotensi dari China kepada MIDA dan menyediakan pakej pembiayaan kepada pemohon yang berjaya bagi memudahkan pelaburan mereka di Malaysia.

MIDA dan bank berkenaan telah diwakili, masing-masing oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azman Mahmud dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Jenny Xu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.