Kedudukan Malaysia Dalam Indeks Persepsi Rasuah Bertambah Baik

PETALING JAYA, 3 Dis (Bernama) — Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bertambah baik, dari tempat ke-54 tahun lepas ke-53 tahun ini, dengan mata CPI bergerak satu tangga daripada 49 ke 50.

Dalam Asean, Malaysia di tempat ketiga, di belakang Singapura dan Brunei, manakala di peringkat global, negara berjaya menduduki tangga lebih baik daripada beberapa negara maju termasuk Itali, Greece dan Republik Czech.

“Malaysia terus berada dalam purata tahap pertengahan, menandakan walaupun banyak langkah telah dilaksanakan di bawah inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara, tahap rasuah masih belum berkurangan secara signifikan,” kata Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar.

“Langkah-langkah dan amalan lebih mantap perlu dikuatkuasakan dan perlu dilaksanakan untuk menghapuskan kepentingan yang telah berakar umbi dan proses yang menyokong penyalahgunaan,” katanya dalam taklimat media di sini Selasa.

Untuk menangani keadaan itu, beliau berkata, TI-M telah menggariskan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan, sebagai usaha kritikal untuk membanteras rasuah.

Cadangan itu, antara lain, ialah untuk meningkatkan ketelusan termasuk gesaan untuk pemansuhan pindaan Seksyen 203A Kanun Keseksaan; menggantikan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dengan Akta Kebebasan Maklumat; serta menyemak semula kelemahan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

Badan itu turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia meningkatkan penguatkuasaan, risikan dan pengumpulan bukti, untuk meningkatkan sokongan awam dan mencegah potensi rasuah.

TI-M berharap kerajaan akan menimbangkan melakukan pembaharuan terhadap sebarang bentuk pembiayaan politik untuk parti-parti politik supaya ia lebih telus dan boleh dipercayai mengenai bagaimana ia diterima dan cara sumbangan politik dibelanjakan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.