KUALA LUMPUR – Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (PERWATAM) mencadangkan supaya pengguna terus diberi pilihan sama ada mahu menyimpan Lesen Kenderaan Motor (LKM) secara digital atau menyimpan secara fizikal.
Presidennya, Hishammuddin Abd Aziz, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna kenderaan individu persendirian, e-hailing dan perdagangan yang masih memilih pelekat LKM, tetapi kehabisan di hampir semua cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Katanya, ini menimbulkan pelbagai reaksi dan salah faham pengguna kenderaan kerana sebahagian daripadanya mahu terus memiliki pelekat fizikal LKM tetapi permintaan ditolak oleh petugas cawangan JPJ atas alasan kehabisan atau kekurangan pelekat fizikal LKM.
“PERWATAM sedia maklum bahawa JPJ menggalakkan supaya pengguna kenderaan persendirian individu untuk memperbaharui LKM secara digital.
“Namun, PERWATAM juga difahamkan bukan semua pengguna mampu mendapatkan LKM secara digital atas faktor masalah penggunaan aplikasi “MyJPJ” yang tidak dapat diakses oleh pengguna.
“Berikutan itu, ia memberi kesan kepada pengguna kenderaan komersial, e-hailing, penama syarikat dan bukan warganegara yang masih perlu mempamerkan fizikal LKM tetapi tidak dapat berbuat demikian.
“Pengguna dibekalkan dengan resit sebagai bukti memperbaharui LKM tetapi apakah resit yang dibekalkan boleh diguna pakai ketika semakan sekatan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Pada 10 Februari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan JPJ dalam fasa interim pelaksanaan pendigitalan LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).
Dalam fasa interim, pemilik kenderaan atau pengguna masih diberi pilihan sama ada mahu menggunakan LKM secara digital atau pun terus kekal dengan dengan dokumen secara fizikal.
Hishammuddin berkata, pengguna kenderaan juga mengadu bahawa bekalan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) turut mengalami gangguan kekurangan bekalan.
Ini sekali gus memberi kesan kepada pengguna untuk terus menggunakan kenderaan dengan selamat dan mengikut peraturan jalan raya.
“Pihak JPJ dan Kementerian Pengangkutan perlu beri penjelasan terperinci berkaitan perkara ini dan diselesaikan dengan segera supaya tidak timbul salah faham di antara penguat kuasa dan pengguna ketika operasi sekatan jalan raya.
“Cadangan diberi pilihan itu juga dibuat berdasarkan makluman pengguna kenderaan yang mahu ia terus dikekalkan dan memastikan tiada gangguan bekalan pelekat fizikal LKM berlaku di masa hadapan,” katanya. – BH