Tiada Yang Istimewa Untuk Rakyat, Hanya Bajet Popular Kerajaan – Zahid

SHAH ALAM – Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam bersifat tidak menyeluruh serta tiada keistimewaan dalam usaha kerajaan meringankan beban rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Belanjawan 2019 diubahsuai daripada belanjawan kerajaan terdahulu yang mana asasnya sudah tersedia tetapi tidak ada yang menarik untuk rakyat secara keseluruhan.

“Bajet 2019 tidak ada garis panduan untuk wujudkan lebih banyak peluang kerja. Bajet hanya sebut rancangan latihan dan bimbingan. Ia mengambil masa sedangkan rakyat mahu penyelesaian segera.

“Bagaimanapun, ada yang boleh dianggap baik, khasnya penerima BR1M dan bantuan lain. Apapun, ia tidak menyeluruh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, jumlah BR1M yang diberikan kerajaan BN dahulu adalah RM 1,200 manakala kerajaan PH hanya mengumumkan bantuan itu yang dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM 1,000.

“Tidak ada yang istimewa untuk rakyat, terutama bagi mengatasi isu kos sara hidup mereka. Banyak berkisar pada skim kesihatan dan dividen yang longgar.

“Ada berita baik mengenai pengguna pengangkutan awam tetapi ia lebih kepada pengguna di tempat-tempat yang ada LRT dan MRT,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga juga berkata, sungguhpun kerajaan membuat pengumuman mengenai sejumlah peruntukan yang besar dalam segmen-segmen tertentu namun mereka langsung tidak menyatakan pengiraan dengan teliti.  

“RM314.5 bilion akan diperolehi dari mana jika kerajaan berkata hutang negara berjumlah RM1 trilion? Mana perkiraan fiskalnya?

“Walaupun ada kebaikan, seperti RM1.2 bilion untuk kemajuan Islam, tidak ada pengkhususan langsung bagi menarik dan meningkatkan semula pelaburan asing. Dari mana kita akan dapat hasil?

“Secara umum, ia adalah bajet yang diubahsuai daripada kerajaan terdahulu. Asasnya sudah tersedia. Tetapi tidak ada yang menarik untuk rakyat secara keseluruhan.

“Ini bajet untuk mempopularkan kerajaan, untuk kerajaan dan bukan untuk rakyat,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.