SPRM Tahan Ketua Cabang PKR Di Sarawak

KUCHING – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam.

Penahanan lelaki terbabit dipercayai ada kaitan dengan laporan yang dibuat beberapa pemimpin PKR Sarawak berhubung jumlah keahlian meragukan bagi Cabang Julau menjelang pemilihan parti.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, mengesahkan penahanan lelaki terbabit di Kuala Lumpur.

Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penahanan itu.

“Saya sahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sebuah portal berita menyiarkan laporan mengenai penahanan lelaki terbabit jam 9 malam semalam di Kuala Lumpur.

Memetik sumber SPRM, lelaki terbabit direman selama sehari untuk membantu siasatan.

Pada 25 Oktober lalu, Ketua Komunikasi PKR Sarawak, Vernon Kedit, bersama beberapa pemimpin PKR negeri ini membuat laporan di SPRM Sarawak.

Laporan itu dibuat selepas pihaknya curiga dengan kenaikan mendadak jumlah keahlian PKR Cabang Julau dari 603 kepada 13,000 ahli dalam masa singkat.

Vernon dilaporkan berkata, siasatan lanjut perlu dibuat SPRM bagi menyiasat sekiranya wujud salah guna kuasa dalam kalangan kepimpinan parti itu.

PKR Sarawak akan menjalankan pemilihan parti pada 10 November depan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.