“Rakyat Malaysia Bukan Terdiri Dari Orang Bandar Sahaja” – Najib

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkritik Belanjawan 2019 yang langsung tidak menyentuh soal golongan pesawah, petani, peladang dan nelayan.

Malah katanya, teks ucapan belanjawan itu juga hanya sekali menyebut tentang Felda dan peruntukan berjumlah RM295 juta diberikan bagi menaiktaraf jalan, projek sistem bekalan air dan memasang lampu.

“Bagi sektor pertanian secara keseluruhan, Belanjawan 2019 kerajaan PH hanya menyebut peruntukan berjumlah RM47 juta untuk penyelidikan dan pembagunan produktiviti benih, bijirin dan buah-buahan, RM18 juta untuk automasi industri agromakanan; dan RM52 juta untuk pelaksanaan program keusahawanan serta latihan industri tani.

“Ini jauh berbeza dengan Bajet 2018 kerajaan BN di mana kita memberi RM6.5 bilion kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah, termasuk RM2.3 bilion bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil, getah dan nelayan,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan PH perlu menjawab secara spesifik apakah bantuan yang disediakan tahun depan bagi kumpulan tersebut termasuk bantuan sara hidup.

“Ataupun semua bantuan-bantuan terdahulu ini sudah dihapuskan?

“Rakyat Malaysia bukan terdiri dari orang bandar sahaja,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.