‘Pendosa Ingin Ke Syurga’, ‘Dukun’ Karya Terbaik ASK 2018

KUALA LUMPUR – Drama Pendosa Ingin Ke Syurga terbitan Suhan Movie & Trading Sdn Bhd diangkat sebagai Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2018 (ASK2018) yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kemenangan itu berjaya menumpaskan empat calon lain iaitu Kasih Seorang Ayah (Mache Allstar United), Nisaa (Unit drama TV, RTM), Qalbu (Saphire Screen Sdn Bhd) dan Aku Nazmi (JS Pictures Sdn Bhd).

Pengarahnya Rashid Sibir turut membawa pulang trofi Pengarah Terbaik (Drama).

Selain itu, drama ini turut memenangi kategori Pelakon Pembantu Terbaik Wanita drama menerusi lakonan mantap Fauziah Nawi.

Bagi kategori Drama Rantaian Terbaik Bahasa Melayu menjadi milik Nur terbitan Radius One Sdn.Bhd.

Pelakon utamanya iaitu Syafiq Kyle dan Amyra Rosli turut merangkul kategori Pelakon Wanita dan Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian.

Bagi kategori filem pula, karya terbitan Astro Shaw Sdn Bhd berjudul Dukun pula dipilih sebagai pemenang Filem Terbaik.

Filem ini turut memenangi kategori Pengarah Terbaik Filem iaitu Dain Said dan Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan Datin Seri Umie Aida.

Trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) menjadi milik Normah Damanhuri menerusi filem Pinjamkan Hatiku dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem) dimenangi Namron menerusi filem Dukun.

Shaheizy Sam pula dipilih penerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) hasil lakonan mantap dalam filem Pinjamkan Hatiku.

Edisi ke-22 ini tidak menampilkan hos utama bagi mengendali malam anugerah sebaliknya diserikan oleh 12 penyampai anugerah dibarisi oleh Datuk Rosyam Nor, Nora Danish, Awal Ashaari, Ayda Jebat, Zahirah MacWilson dan Elly Mazlein, Sherry Al-Hadad, Izzue Islam, Sharnaaz Ahmad, Naz Habibur Rahman dan Shuk Sahar.

Pada acara itu juga turut menyaksikan persembahan daripada Datuk M. nasir, Wany Hasrita, Ernie Zakri, Shiha, Jaclyn Victor, Elvira, Alpha Movement, Altimet, Amelia Henderson, Raja Shahiran dan Shawn Lee.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.