Kereta Mewah Mercedes 1500 cc Dapat Subsidi Petrol?

KUALA LUMPUR – Sebaik sahaja Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyebut tentang subsidi petrol sebanyak 30 sen seliter bagi kereta persendirian 1500 cc ke bawah, media sosial mula dibanjiri dengan pelbagai komen.

Ketika itu Guan Eng belum pun menghabiskan ucapan pembentangan Belanjawan 2019.

Rata-rata netizen melahirkan tanda tanya apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh menteri kewangan itu.

Mereka mula membuat perbandingan kereta-kereta jenama mewah dan jenama tempatan mengikut cc.

Ternyata Proton Persona menjadi perhatian kerana kenderaan tersebut yang dijual pada harga tidak sampai RM60,000 itu mempunyai kapasiti enjin 1600 cc.

Sedangkan banyak kereta jenama mewah seperti BMW dan Audi menawarkan kapasiti enjin di bawah 1500 cc tetapi dijual pada harga melebihi RM200,000.

Adakah itu bermakna kereta jenama mewah juga dapat menikmati subsidi manakala kereta persendirian tempatan yang dijual pada kadar tidak melebihi RM60,000 yang selalunya digunakan oleh orang biasa yang telah berkeluarga tidak berpeluang mendapat faedah Belanjawan 2019?

Agaknya berapa ramai yang menggunakan Persona dan berapa ramai pula yang memandu kereta-kereta jenama mewah kurang 1500 cc?

Jika ada angkanya, bagaimana perkara itu hendak dilaksanakan dan platform mana hendak digunakan bagi memastikan kesahihan?

Selain itu, ada juga netizen mempertikaikan pemberian subsidi kepada motosikal 125 cc ke bawah kerana beranggapan kenderaan jenis itu biasanya digunakan oleh mat-mat rempit.

Majoriti rakyat yang menggunakan motosikal untuk pergi kerja biasanya 135 cc atau 150 cc dan motosikal seperti itu sepatutnya diberi subsidi.

Kalau tidak pun, beri subsidi kepada motosikal 600 cc ke bawah kerana ia lebih masuk akal kerana motosikal berkuasa lebih daripada itu sudah masuk kategori superbike yang lazim digunakan orang-orang berduit sahaja, menurut seorang netizen.

“Tapi berbeza pulak dengan kereta. Kau jangan ingat makin besar cc kereta tu makin kaya ownernya. Tak adil kalau subsidi hanya diberikan pada kereta-kereta bawah 1.5.

“Persona 1.6 kereta orang kaya ke? Saga 1.6 kereta orang kaya ke? Wira 1.6 kereta orang kaya ke? Waja 1.6 Campro kereta orang kaya ke?

“Kau nak bagi subsidi dekat kereta bawah 1.5, kau ingat Axia dengan Myvi je ke yang bawah 1.5?” soalnya.

Ramai juga netizen mahu menteri dan kerajaan membuat kajian mendalam terlebih dahulu dan ada yang agak kasar dan mahu kerajaan jangan jadi ‘bebal macam kaldai’ dalam hal sebegini.

Semalam, Guan Eng berkata, pemilik kereta persendirian dengan kapasiti enjin 1500 cc ke bawah dan motosikal 125 cc ke bawah bakal menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter, bermula suku kedua tahun depan.

Subsidi itu terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dan 45 liter untuk motosikal.

Katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion bagi subsidi berkenaan yang dijangka dapat memanfaatkan empat juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.
Apa pun, diharapkan kerajaan dapat mencari mekanisme yang tepat mencari golongan yang memerlukan bagi menikmati subsidi berkenaan kerana jika dibuat secara pukul rata, ramai yang kaya mendapat untung dan e semakin susah. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.