“Ini Belanjawan Rakyat Sengsara, Bukan Belanjawan Rakyat Sejahtera”, Kata Najib

SHAH ALAM – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pembentangan Belanjawan 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) semalam sebagai belanjawan yang lebih memberi kesengsaraan kepada rakyat.

Najib turut membuat perbandingan di antara Belanjawan 2018 yang dibentangkan beliau sewaktu menerajui kerajaan BN tahun lalu dengan Belanjawan 2019 yang julung kali dibentangkan PH. 

Menurut Najib, belanjawan kerajaan BN lebih mementingkan kebajikan rakyat dan ia terbukti dengan peruntukan dan bantuan yang diumumkan tahun lalu melebihi apa yang diumumkan kerajaan kali ini. 

Ahli Parlimen Pekan itu mengambil contoh BR1M, yang mana jumlah yang diberikan kerajaan BN dahulu adalah RM 1,200 manakala PH hanya mengumumkan bantuan itu sebanyak RM 1,000.

Begitu juga dengan pembayaran semula pinjaman PTPTN, di mana kerajaan PH langsung tidak mengumumkan sebarang potongan (diskaun) kepada peminjam, bahkan bercadang untuk melakukannya menerusi potongan gaji.

Ujar Najib, ia berbeza dengan kerajaan BN yang sentiasa menawarkan diskaun bagi menggalakan peminjam membayar kembali pinjaman mereka.

Sementara itu mengenai bonus penjawat awam, BN sebelum ini mengumumkan bonus berjumlah RM 1,500 dengan kenaikan gaji khas, manakala PH pula hanya mengumumkan bonus sebanyan RM 500 kepada golongan itu.

“Oh. Tidak lupa, harga minyak akan naik. 

“Ini bukan belanjawan rakyat sejahtera. Ini belanjawan rakyat sengsara,” kata beliau. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.