Belanjawan 2019: Nasib Graduan Tidak Jelas

PUTRAJAYA – Nasib graduan pendidikan universiti awam dan kedudukan Institut Pendidikan Perguruan (IPG) tidak mendapat perhatian apabila ia tidak dinyatakan secara jelas dalam Belanjawan 2019.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan dalam kenyataannya berkata, ia termasuk  jaminan penempatan terhadap graduan pendidikan lepasan universiti awam dan isu pengambilan pelajar ke IPG.

“Perkara itu tidak dinyatakan dengan jelas dalam Belanjawan 2019,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu memperkasakan guru dan menyelesaikan  isu perjawatan sekiranya sekolah melonjak kecemerlangan.

“Nasib guru juga tidak diberi perhatian,” katanya.

Bagaimanapun, iGuru menyambut baik peruntukan terhadap  pendidikan yang dilihat lebih holistik dan menyeluruh.

“iGuru merasa lega belanjawan yang besar diberikan dan berharap ia dapat memperkasa sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan,” katanya.

Beliau berkata, iGuru berharap peruntukan itu dapat digunakan untuk penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan terutama sekolah luar bandar serta merapatkan jurang pendidikan.

“iGuru juga berterima kasih kepada kerajaan kerana turut memberikan peruntukan kepada sekolah tahfiz dan pondok.

 

“iGuru berharap peruntukan kepada SK, SBP dan MRSM adalah langkah membantu pendidikan kaum Melayu dan pada masa yang sama tidak meminggirkan kaum lain,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.