YDP Agong Terima Menghadap Putera Charles dan Camilla

KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan menerima menghadap Putera Charles, dan isteri baginda, Camilla di Istana Negara.

Semasa pertemuan 45 minit di Bilik Seri Maharaja Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong juga menjadi hos majlis santapan petang untuk Prince of Wales dan Duchess of Cornwall.

Lawatan pertama kedua-dua pasangan diraja itu ke Malaysia adalah bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik di antara Malaysia dan United Kingdom.

Putera Charles dan Camilla yang tiba di ibu negara Malaysia semalam, dijadual melawat pelbagai tempat di Kuala Lumpur, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang, selain menyertai pelbagai acara penting sepanjang lawatan tujuh hari dari 2 hingga 8 November.

Kerabat diraja British yang pernah melawat Malaysia sebelum ini ialah Ratu Elizabeth II dan Duke of Edinburgh bagi menghadiri upacara perasmian Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur pada 1998 dan Putera William, Duke of Cambridge dan isteri Kate Middleton, Duchess of Cambridge, pada September 2012.

Hubungan dua hala di antara Malaysia dan United Kingdom meliputi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan dan keselamatan, pelaburan, pendidikan, ekonomi digital, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan. ― Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.