Trump Mahu Sayfullo Dihukum Mati

MANHATTAN – AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa pendakwaraya memberikan hukuman mati terhadap Sayfullo Saipov yang bertindak merempuh berpuluh orang awam di New York, kelmarin.

“Pengganas NYC dengan gembira meminta untuk menggantung bendera Daesh di bilik hospital. Dia bunuh 8 orang, 12 cedera parah. Patut dapat hukuman mati!,” kata Trump di Twitter.

Trump juga meluahkan hasrat untuk mengetatkan undang-undang immigrasi AS dan merancang meminta kongres menamatkan beberapa program visa.

Selain itu, Trump juga merancang untuk menghantar Sayfullo ke Guantanamo Bay, jika suspek tidak dihukum mati.

Guantanamo Bay tidak menerima sebarang tahanan baharu sejak 2008, lapor Sinar.

Trump menggelar Sayfullo sebagai ‘binatang’ selain menghentam sistem kehakiman AS terhadap kes melibatkan pengganas sebagai ‘kelakar’.

Sayfullo, 29, muncul dengan kerusi roda di mahkamah persekutuan di New York semalam dan didakwa atas dakwaan menyokong kumpulan pengganas, menimbulkan keganasan dan memusnahkan kenderaan.

Kata laporan Dailymail, peguam Sayfullo tidak meminta ikat jamin untuk anak guamnya dan mahkamah memerintahkan tertuduh ditahan di penjara persekutuan.

Sayfullo juga dikatakan tidak akan membuat rayuan.

Tertuduh dijadualkan muncul di mahkamah sekali lagi pada 15 November.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.