SPAD Tahan Pemandu Teksi Caj RM160 Untuk Perjalanan 10 Kilometer

KERANA nilai setitik rosak susu sebelangga. Demikian gambaran yang sesuai diberikan atas tindakan seorang pemandu teksi yang menggenakan tambang tidak masuk akal terhadap penumpang warga asing, yang sekaligus memburukkan imej pemandu-pemandu teksi lain.

Memetik laporan Harian Metro malam tadi (Khamis), pemandu teksi tamak itu meminta bayaran tambang sebanyak RM160 daripada penumpang warga Myanmar bagi jarak perjalanan yang tidak sampai 10 kilometer (km).

Caj tersebut difahamkan diminta selepas menghantar mangsa dari Jalan Bukit Petaling ke Kota Raya.

Tidak berpuas hati dengan caj tambang tidak munasabah itu, mangsa kemudian membuat aduan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), kelmarin.

Bertindak atas aduan, pihak SPAD berjaya mengesan dan menahan pemandu teksi terbabit di sekitar TBS.

“SPAD kemudian menahan dan mengambil keterangan dari pemandu teksi itu.

“Pemandu teksi itu kemudian mendakwa hanya meminta caj tambang sebanyak RM100 daripada mangsa,” kata jurucakap SPAD memetik akhbar tersebut.

Tambahnya, SPAD turut menyita teksi model Proton Saga BLM yang digunakan pemandu terbabit bagi tujuan siasatan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan notis 80 akta sama atas kesalahan tidak menggunakan meter tambang.

Tatkala pelbagai perkhidmatan awam kini semakin banyak ditawarkan dan pelanggan mempunyai pilihan, pemandu-pemandu teksi seharusnya tidak mengambil kesempatan terhadap penumpang kerana pada akhirnya, ia akan merugikan pemandu teksi itu sendiri. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.