Sistem Dipilih Ikut Keputusan SPM

MELAKA — Kaedah baharu pengisian borang permohonan kemasukan ke universiti awam secara dalam talian bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dilaksanakan tahun depan, kata Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi Mazula Sabudin.

Beliau berkata melalui inisiatif berkenaan pelajar tidak perlu memasukkan keputusan SPM yang diperoleh kerana ia akan dimasukkan secara automatik oleh sistem yang dibangunkan jabatan tersebut berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Jabatan Pendidikan atau Lembaga Peperiksaan, lapor Bernama.

Katanya berdasarkan keputusan tersebut pelajar hanya akan diberi pilihan program yang bersesuaian dengan mereka agar ia tidak merugikan mana-mana pihak.

“Pelajar biasanya membuat pilihan program yang mereka minat tetapi tidak layak dengan keputusan. Jadi kaedah baharu ini bertujuan mengelak kerugian dan membantu pelajar membuat pilihan yang tepat.

“Menerusi kaedah ini pelajar yang tidak cukup syarat secara automatik tidak boleh memilih program yang tidak sesuai atau yang mereka tidak mahu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah UPU 2017 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Univeriti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Dr Mohd Razali Mohamad dan Pegawai Perhubungan Jabatan Pendidikan Melaka Abdul Halim Abdul Malek.

Mengulas lanjut, Mazula berkata pelajar hanya perlu mengisi nama, maklumat keluarga, aktiviti kokurikulum dan membuat pemilihan program yang bersesuaian selepas keputusan peperiksaan mereka keluar.

Beliau berkata pelajar perlu bijak memilih program yang bersesuaian dengan keputusan mereka kerana persaingan antara pelajar bagi kemasukan ke universiti awam di negara ini sangat tinggi.

Katanya pada tahun lepas sahaja seramai 208,000 pelajar SPM dan setaraf, mengisi borang permohonaan kemasukan UPU namun tempat yang tersedia di universiti awam hanya kira-kira 149,000 orang.

“Daripada jumlah berkenaan, 43 peratus pelajar berjaya memasuki universiti awam, politeknik 30 peratus dan kolej komuniti 27 peratus,” katanya.

Beliau berkata tempat yang ditawarkan universiti awam di seluruh negara adalah terhad setiap tahun berbanding permohonan yang diterima kerana pihak universiti perlu menjaga kualiti pelajar dan memastikan pelajar yang layak sahaja mendapat tempat mengikuti program yang ditawarkan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.