Pengerusi Jingga 13 Dilepas Tanpa Dibebaskan

Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan Pengerusi Jingga 13, Mohd Fariz Abd Talib @ Musa ,47, daripada pertuduhan menyertai perhimpunan #KitaLawan, dua tahun lepas.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara membenarkan representasi Mohd Fariz yang diwakili peguam Eric Paulsen untuk menyemak pertuduhan terhadapnya.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan menutup kes terhadap Mohd Fariz selaku Orang Kena Saman (OKS),” katanya.

Di luar mahkamah, Raja Zaizul Faridah memberitahu pemberita bahawa peguam yang mewakili Mohd Fariz membuat representasi itu kerana anak guamnya menghidap penyakit kencing manis dan sebelah kakinya telah dipotong.
Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan kes Mohd Fariz bersama seorang aktivis, Adam Adli Abd Halim, 28, dengan saksi pendakwaan keempat dan kelima memberi keterangan.

 

Pada 8 September 2015 di Mahkamah Majistret, Mohd Fariz dan Adam Adli mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyertai protes jalanan tersebut bermula di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir di Esplanade KLCC antara 4 petang dan 7.30 malam, 28 Februari 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.