Peminat Apple Dari Johor Beratur 3 Hari Di Singapura Beli iPhone X

Penantian berakhir bagi peminat-peminat telefon pintar jenama Apple apabila beberapa negara terpilih seperti Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan Singapura hari ini (3 November) secara rasmi membuka pintu kedai mereka untuk pelanggan yang mahu mendapatkan iPhone X.

Di AS, iPhone X yang dilancarkan sempena ulang tahun yang ke-10 syarikat telekomunikasi gergasi itu dijual pada harga US$999 (RM4,201) dan US$1,149 (RM4,832).

Sementara di Singapura, harga pasaran bagi telefon pintar tercanggih keluaran Apple itu ditawarkan pada harga S$1,648 (RM5,134) bagi model berkapasiti 64GB dan S$1,888 (RM5,882) bagi model berkapasiti 256GB, seperti laporan MD.

Di Malaysia pula, yang mana iPhone X dijangka mula berada di pasaran negara pada penghujung Disember tahun ini telah dimaklumkan oleh Apple Malaysia di laman sesawang mereka sebelum ini bahawa peranti tersebut akan dijual pada harga RM5,149 (64GB) dan RM5,899 (256GB).

Dengan menawarkan dua pilihan warna iaitu ‘Silver’ dan ‘Grey’, harga yang ditawarkan di Malaysia dilihat tidak jauh beza dengan harga yang ditawarkan di Singapura – yang mana bagi rakyat di negara ini yang sudah tidak sabar untuk memiliki iPhone X pasti berasa berbaloi untuk mereka membeli di negara jiran, yang sudah mula dijual hari ini.

Tetapi, seperti dijangka sambutan terhadap produk terbaharu Apple itu sangat menggalakkan dan mereka yang mahu mendapatkannya bakal berdepan dengan sedikit ‘dugaan’ di mana perlu beratur panjang dan ada dalam kalangan mereka dilaporkan sudah mula beratur sejak tiga hari lalu.

Semakan di laman sosial Twitter hari ini menunjukkan beberapa pelanggan berkongsi gambar mereka bersama telefon pintar tersebut dan meluahkan keterujaan selepas beratur panjang bagi menjadi pelanggan pertama yang memiliki iPhone X.

Memetik portal Today Online, ratusan orang ramai dilaporkan mula beratur di luar kedai Apple di Orchard Road sejak semalam dan jumlah tersebut semakin bertambah pada hari pelancaran rasmi, hari ini.

Salah seorang daripada mereka adalah rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Herry berasal dari Johor Bahru.

Dalam rakaman video yang dimuat naik di laman Twitter Today Online, Herry memberitahu wartawan portal itu bahawa dia mula beratur di hadapan kedai tersebut sejak tiga hari lalu.

Dan kegigihannya itu berbaloi apabila dia kini memiliki dua buah iPhone X.

“Saya beratur di sini sejak tiga lalu untuk dapatkan iPhone X model 256GB berwarna perak dan kelabu… satu untuk isteri saya dan satu untuk saya,” katanya dalam nada gembira.

Agak-agak siapa orang pertama yang berjaya memegang telefon pintar tersebut? Memetik ‘tweet’ di laman portal The Straits Times‏ memaklumkan bahawa pelanggan warga Thailand, Supakorn Rieksiri dan Kittiwat Wang menjadi orang pertama memiliki iPhone X sebaik sahaja ia dibuka pada jam 8 pagi tadi. Wow, tahniah!

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook menerusi catatan di laman Twitternya hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua peminat di atas sambutan terhadap produk terbaharu keluaran syarikat tersebut, selain turut berkongsi gambar pelanggan di Sydney.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.