‘Mahathir Sebenarnya Punca Melayu Berpecah’

Dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS punca perpecahan orang Islam dan Melayu di negara ini adalah tidak benar.

Sebaliknya, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menegaskan Mahathir sebenarnya punca perpecahan Melayu apabila tiga timbalannya disingkirkan ketika beliau berkuasa menjadi perdana menteri.

“Sebenarnya Tun (Dr Mahathir), sesuailah dengan ucapan yang beliau selalu sebut bahawa ‘Melayu mudah lupa’, tapi PAS tak pernah lupa.

“Yang saya ingat pemimpin Umno (zaman Mahathir) yang menjadi punca perpecahan (Melayu).

“Zaman dialah kita tengok Melayu itu berpecah. Tiga timbalan perdana menteri, tiga timbalan presiden Umno terpelanting dan lahir Semangat 46, Umno diharamkan, PKR dilahirkan, itu semua sewaktu zaman beliau,” kata Idris ketika ditemui pemberita di luar bangunan Ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Idris berkata demikian mengulas respon Mahathir terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta bekas perdana menteri itu bertaubat atas kesalahannya sepanjang 22 tahun mentadbir negara.

Mahathir sebaliknya mendakwa Hadi yang sepatutnya bertaubat kerana mengeluarkan amanat yang pernah menyebabkan perpecahan orang Melayu Islam.

Dalam pada itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin pula berpendapat tuduhan yang mengatakan Mahathir sebagai pengkhianat Melayu sangat tidak tepat dan perlu dinilai semula.

Mohd Asri berkata, berdasarkan pengalaman peribadinya sendiri, Mahathir adalah pemimpin politik yang lebih banyak memikirkan soal Melayu berbanding pemimpin lain.

‘Tak macam negarawan’

Mengulas lanjut, Idris berkata sebagai negarawan, Mahathir perlu mencari idea lain untuk menyerang atau mengkritik PAS.

“Dia mengulangi benda yang sama saja, cari modal lainlah, beritahu dia.

“Dia sebagai negarawan kadang-kadang pun bercakap tak macam seorang negarawan, bercakap tentang Bugis perompak yang tak sepatutnya keluar dari mulut seorang negarawan,” katanya merujuk ucapan Mahathir baru-baru ini yang mendakwa masyarakat Bugis berasal dari keturunan Lanun.

 

Idris menambah PAS juga sedia menjawab kritikan berdasarkan prinsip Islam.

“Kalau nak kritik PAS pun kita bersedia dikritik tapi biarlah dalam bentuk fakta yang tidak ada emosi, jangan fitnah. PAS ini bukan maksum,” katanya.

“PAS tak pernah lupa walaupun dia (Dr Mahathir) kata Melayu mudah lupa,” katanya.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.