Kedah Dapat 1,000 Tiket Tambahan Saksi Final Lawan JDT

KUALA LUMPUR — 1,000 tiket tambahan disediakan kepada peminat bola sepak Kedah bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia esok.

Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menjelaskan separuh daripada tiket itu boleh didapati secara atas talian dan separuh lagi di Stadium Shah Alam petang ini.

“Penyokong yang berminat untuk mendapatkan tiket berkenaan perlu melalui proses ‘belian’ di tickethotline.com seperti biasa namun tiada caj akan dikenakan.

“Sama juga di stadium di mana tiket boleh dituntut di kaunter Ticket Hotline,” menurut kenyataan FMLLP lapor mStar Online.

Tiket yang ditawarkan secara atas talian dibuka pada 2.30 petang tadi manakala 500 tiket lagi boleh didapatkan di stadium bermula 4 petang ini.

Mereka yang membuat tempahan secara atas talian boleh mengambil tiket mereka esok di stadium bermula 2.30 petang.

Pemilik MyKad yang beralamat Kedah sahaja dibenarkan untuk menuntut tiket perlawanan akhir itu.

Ramai penyokong Kedah kecewa pada Rabu setelah gagal mendapatkan 10,000 tiket final Piala Malaysia di Stadium Darul Aman.

Dijual mulai 9 pagi, semua tiket perlawanan Kedah menentang Johor habis dalam tempoh 45 minit lalu menimbulkan sedikit kekecohan.

Ratusan dilaporkan berhimpun depan astaka utama, menjerit-jerit serta mendesak Persatuan Bola Sepak Kedah memberikan tiket.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.