‘Boss’ Saya Adalah Yang Maha Kuasa Kata Mufti Menk

Knntroversi yang menimpa pendakwah terkenal dari Zimbakwe, Ismail Menk atau Mufti Menk tidak pernah melemahkan semangat agamawan itu untuk menyebarkan kebaikan mengenai agama Islam yang disampaikan menerusi ceramah-ceramahnya.

Mufti Menk menerusi kemaskini di laman Twitter malam tadi memuat naik status seakan memberi gambaran terhadap isu panas yang melanda dirinya selepas Kementerian Dalam Negeri Singapura (MAH) dalam kenyataan pada 30 Oktober lalu melarang beliau daripada memasuki Singapura dan menyampaikan ceramah di republik itu.

Larangan tersebut dibuat kerana mendakwa ceramah yang disampaikan Mufti Menk boleh merosakkan keharmonian sosial dan kaum selepas pendakwah itu kononnya melarang umat Islam mengucapkan Merry Christmas” dan “Happy Deepavali”.

“Jangan biarkan mana-mana dugaan melemahkan anda. Ia sepatutnya mendorong anda ke hadapan dan menguatkan anda.

“Itulah yang dilakukan seorang mukmin. Tetap teguh pada iman setiap masa,” demikian tulis Ustaz Menk dalam entri tersebut, pada Khamis seperti memetik laporan MD.

Selepas memuat naik kemaskini tersebut, Mufti Menk hari ini sekali lagi mengatakan bahawa beliau akur dengan percaturan Allah terhadap perjalanannya dalam menyampaikan ilmu-ilmu Islam.

Katanya, segala apa yang dilakukan beliau selama ini kerana Allah dan berpandukan sepenuhnya kepada al-Quran.

“‘Boss’ saya adalah Yang Maha Kuasa. Saya bekerja untuk-Nya. Saya menyebarkan firman-Nya dengan rasa cinta terhadap penciptaan-Nya.

“Saya berpandukan buku-Nya (al-Quran). Dia memutuskan ke mana saya pergi (dan) Dia (juga) memutuskan ke mana saya tidak.

“Dia menggunakan saya untuk menyebarkan kebaikan, saya selalu berdoa. Saya sentiasa mempercayai Dia sepenuhnya… Dia hanya melakukan yang terbaik. Jadi, kenapa saya harus kecewa apabila ‘Boss’ saya yang mengawal ini?

“Ya Allah, aku masih milikMu, selamatkanlah aku dari segala kejahatan. Bantulah aku untuk menyebarkan rasa cinta… bimbinglah kami semua,” demikian katanya pada Jumaat.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada kemaskini tersebut merujuk kepada isu larangan ceramah terhadap dirinya ataupun sebaliknya.

Terdahulu, selain Singapura, negeri Johor kelmarin turut mengumumkan Mufti Menk dan seorang lagi penceramah popular negara Haslin Baharim atau dikenali sebagai “Ustaz Bollywood” diharamkan dari berceramah agama di negeri itu.

Memetik BH, Exco Agama Abd Mutalip Abd Rahim berkata larangan itu adalah titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Kandungan ceramah yang pernah disampaikan oleh kedua-dua penceramah sebelum ini dilihat boleh membawa kegelisahan dalam keharmonian kaum.

“Jabatan Agama Johor akan terus memantau perkembangan ceramah agama di negeri ini, bagi memastikan tiada elemen atau pandangan yang menggalakkan perpecahan kaum disampaikan,” kata Mutalip seperti dilapor portal tersebut.

Majlis Ulama Zimbabwe (MUZ) tampil mempertahankan Mufti Menk berhubung larangan yang dikeluarkan oleh Singapura yang mendakwa ceramah beliau tidak sesuai dan memecahbelahkan masyarakat berbilang agama kerana mengajar umat Islam supaya tidak mengucapkan perayaan sambutan penganut agama lain.

“Kami ingin tegaskan beliau tidak pernah mengatakan ia ‘berdosa’ untuk memberi ucapan kepada orang lain pada perayaan mereka. Beliau mengajar setiap orang mempunyai hak sama untuk meraikan perayaan mereka, tanpa sebarang ketakutan atau sekatan,” kata Presiden MUZ, Shaikh Umar Phiri dilapor media.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.