Amira Elak Cinta Lokasi

Kerap digandingkan dengan lelaki yang berstatus suami orang dalam sesebuah drama sememangnya memberi cabaran kepada penyanyi dan pelakon Amira Othman terutama terhadap tanggapan orang.

Justeru, bagi mengelak tercetusnya kontroversi atau berlakunya perkara yang tidak diingini, Amira atau Nadia Amira Othman, 24, mengambil langkah bijak dengan membataskan hubungan dengan pasangan lakonannya.

 

Bagi bintang utama drama popular Abang Bomba I Love You ini, hubungan yang serasi dalam drama dan ketika berada di lokasi penggambaran tidak seharusnya dibawa hingga ke dunia nyata.

“Sejujurnya saya tidak menjadikan status pasangan saya dalam sesebuah drama sebagai masalah besar. Tambahan pula, setakat ini, rakan artis yang bergandingan dengan saya tahu kedudukan dan tanggungjawab mereka.

“Namun bagi mengelakkan berlakunya perkara yang boleh memburukkan nama dan situasi, saya lebih selesa menjaga batas perhubungan saya dengan mereka.

“Bagi saya, tidak perlu untuk kami berhubung secara peribadi setelah tamat penggambaran atau di luar waktu bekerja.

“Kalau terpaksa, mungkin sebaik-baiknya saya menggunakan orang tengah untuk kami berhubung.

“Tetapi saya bukanlah berlagak sombong sebaliknya jika berjumpa di luar atau ketika menghadiri majlis, saya pasti akan menegur rakan artis yang pernah bekerja dengan saya,” jelas Amira yang berpasangan dengan Hafidz Roshdi menerusi drama Red Velvet.

Mengenai status dirinya, Amira mengakui belum mempunyai teman istimewa.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Hati-Hati ini, dia mahu membuka pintu hatinya untuk mencari cinta dan menamatkan zaman bujang bila usianya mencecah 25 tahun.

Tambahnya, dia sendiri belum berjumpa dengan lelaki yang sesuai malah tanpa berselindung menjelaskan bahawa dia akan meminta ibu bapanya mencarikan calon suami sesuai.

“Saya merancang untuk bergelar isteri apabila saya sudah berusia 25 tahun iaitu pada tahun hadapan. Saya berharap saya akan membuka pintu hati untuk mempunyai seorang teman istimewa ketika itu.

“Kalau tiada rezeki, saya tidak kisah sekiranya ibu bapa saya mahu membantu mencarikan jodoh. Saya yakin dengan jodoh pilihan keluarga kerana mereka pastinya inginkan yang terbaik untuk saya,” luah kakak kepada penyanyi Irfan Haris ini.

Berguru dengan Que Haidar

Bercerita tentang karier seni, Amira kini aktif mengikuti kelas lakonan dengan pelakon, Que Haidar. Memasuki kelas tersebut atas inisiatifnya sendiri, Amira menjelaskan dia mahu menyerlahkan lagi bakat lakonannya.

Hasilnya terbukti apabila lakonan Amira menerusi drama Red Velvet yang sedang ditayangkan di kaca televisyen dikatakan semakin baik berbanding drama lakonannya sebelum ini.

“Selepas drama pertama, saya merancang untuk mengikuti kelas lakonan dan saya mengambil peluang berguru dengan Que Haidar.

“Ketika masih lagi menjalani kelas latihan, saya ditawarkan untuk berlakon drama Red Velvet. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana tetap menerima tawaran meskipun sedang dalam proses memantapkan lakonan.

“Dengan berkat ilmu yang diturunkan oleh Que, bila memasuki set penggambaran drama tersebut, saya lebih yakin. Ternyata, kelas tersebut bukan sahaja membantu saya memperbaiki mutu lakonan malah menambahkan keyakinan diri ketika berlakon.

“Saya masih meneruskan kelas lakonan ini untuk menimba lebih banyak ilmu dalam bidang tersebut. Saya juga mahu mendapatkan kepuasan apabila melihat pencapaian diri sendiri,” katanya.-Utusan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.