Pesawat Malindo Air buat pendaratan cemas

Kuala Lumpur – Pesawat 206 Malindo Air dalam perjalanan dari Delhi ke Kuala Lumpur, mengalami masalah menyebabkan juruterbang terpaksa membuat pendaratan cemas di Bangkok, Thailand, awal pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, Chadran Rama Muthy memberitahu The Rakyat Post pada kira-kira jam 6 pagi tadi, juruterbang memberitahu pesawat mengalami masalah teknikal dan membuat keputusan mendarat di lapangan terbang berdekatan menurut prosedur operasi standard (SOP).

“Semua penumpang selamat dan kami berterima kasih dengan tindakan juruterbang yang cekap dan tenang.

“Tiada rungutan yang diterima daripada penumpang dan pihak kami telah menyediakan pesawat lain untuk membawa mereka pulang ke Kuala Lumpur secepat mungkin,” katanya.

Menurut portal Rakyat Post, kejadian itu dimaklumkan melalui status yang dimuat naik oleh seorang penumpang, Puteri Shehnaz Majid di laman Facebooknya yang mendokumentasi pengalamannya dari Bangkok.

“Kami sudah separuh jalan dari Delhi ke KL di ruang udara Lautan Hindi apabila juruterbang membuat pengumuman “pendaratan cemas” melalui pembesar suara dan pesawat hilang ketinggian.

“Topeng oksigen diturunkan dan penghawa dingin dimatikan. Kami bernafas menggunakan topeng oksigen untuk setengah jam dalam keadaan ribut dan kilat.

“Pesawat terpaksa dilencongkan dan membuat pendaratan cemas di Bangkok. Sebaik saja kami mendarat, semua orang sudah berpeluh.

“Seorang kanak-kanak muntah dalam topeng oksigen. Seorang lelaki tua terjatuh di dalam bilik air ketika pesawat hilang ketinggian. Kami semua selamat tetapi terkandas di lapangan terbang tanpa berita bila kami akan dapat pulang. Apa yang saya faham, masalah berpunca daripada penghawa dingin dan/ atau tekanan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.