Malaysia Cemas, Tunggu Keputusan Ujian Dopping Chong Wei

Kuala Lumpur – Malaysia sedang menunggu dengan cemas hasil ujian kedua pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, yang akan dijalani di Norway pada Rabu selepas dilaporkan gagal ujian doping pertama.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan minggu lalu salah seorang pemain badmintonnya diuji positif mengambil bahan terlarang tetapi tidak mendedahkan identiti individu itu.

BAM berkata, bahan yang diharamkan dikesan dalam sampel air kencing yang pertama adalah deksametason, sejenis kortikosteroid bagi merawat gejala pelbagai penyakit termasuk coelitis, asma dan tumor.

Ubat ini diharamkan semasa pertandingan saja, yang bermaksud jika ia dikesan di luar musim atau sebelum pertandingan, ia tidak akan dianggap menyalahi undang-undang.

Ketua Perubatan dan Anti-Doping Jawatankuasa Majlis Olimpik Asia Tan Sri Dr Mani Jegathesan berkata bahan itu dianggap meninggalkan kesan ke atas prestasi pemain secara tidak langsung.

“Ia mungkin secara tidak langsung memberi kesan kepada permainan, seperti steroid anabolik atau EPO, tetapi secara tidak langsung,” katanya kepada The Malaysia Insider.

Dr Jegathesan berkata, mereka yang positif ujian doping berada pada 3 kategori – sengaja, mangsa dan tidak bersalah/tidak tahu.

Seseorang mangsa mungkin diberi dadah oleh jurulatih mereka atau pegawai sementara mereka yang berada dalam kategori tidak bersalah/tidak tahu mungkin mengambil bahan itu tanpa mereka mengetahuinya.

Di bawah peraturan ketat, mereka akan dibatalkan daripada pertandingan yang disertai. Bagaimanapun apa yang lebih penting ialah, penggantungan yang diterima daripada badan pengurusan sukan berkenaan.

Dr Jegathesan berkata, mereka yang menjadi mangsa atau tidak tahu boleh membuat rayuan kes itu kepada pihak berkuasa dan setiap kes akan mempunyai merit masing-masing.

Beliau berkata, Malaysia tidak berada di bahagian atas atau bawah dalam kes doping, dan kes dalam negara berlaku dari masa ke masa.

“Tahun ini, kes doping membabitkan rakyat Malaysia mendapat perhatian kerana atlet berprofil tinggi yang terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Jegathesan menasihatkan masyarakat awam Malaysia yangan menjatuhkan hukuman dalam kes doping sebelum membuat kesimpulan dalam kategori mana atlet berkenaan berada.

“Jangan terlalu menghukum, ada banyak contoh kes terdahulu dalam semua tiga kategori itu,” katanya.

Katanya, keadaan yang membolehkan hukuman diringankan juga dipertimbangkan pihak berkuasa ketika mereka membuat keputusan mengenai hukuman.

Beliau berkata, doping amat membimbangkan kerana ia menarik perhatian sejak dua tahun lalu, apabila pingat atau kejuaraan atlet yang diuji positif mengandungi bahan larangan ditarik balik.

“Ini menyebabkan masyarakat tahu dan sedar mengenai kes seumpama itu,” katanya, dan menambah sukan yang berbeza membabitkan bahan larangan yang berlainan.

“Contohnya, sukan yang memerlukan kekuatan dan otot seperti acara membaling atau angkat berat akan melihat kepada steroid anabolik disalah guna,” katanya.

Dr Jegathesan berkata, steroid anabolik membantu atlet membina kekuatan otot, walaupun secara tidak sah.

Bagaimanapun, acara yang memerlukan stamina, untuk meningkatkan paras hemoglobin dan membina kapasiti pembawaan oksigen akan menyaksikan atlet memilih kepada transfusi darah dan EPO.

Katanya, atlet yang berpaling kepada bahan larangan juga mengambil dadah tambahan yang dikenali sebagai ejen penutup untuk melindungi aktiviti haram mereka.

“Atlet tempatan kita diberikan pendidikan yang mencukupi mengenai apa yang boleh dan tidak boleh diambil. Institut Sukan Negara juga menganjurkan ceramah secara berkala,” katanya.

Dr Jegathesan berkata, Universiti Sains Malaysia (USM) juga sebelum ini mempunyai akreditasi antarabangsa untuk pusat dopingnya sehingga ia ditarik balik 2 tahun lalu.

“Makmal doping USM ditubuhkan pada 1998 untuk Sukan Komanwel di mana Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun itu,” katanya.

Bagaimanapun, USM hilang akreditasi antarabangsa pada 2012 berikutan makmal doping itu tidak memenuhi syarat antarabangsa.

Dua minggu lalu, TV3 dan Star melaporkan Lee gagal ujian pertama doping.

Pihak berkuasa Malaysia dimaklumkan mengenai kegagalan ujian itu pada 1 Oktober dan berkata mereka akan menyiasat perkara itu, termasuk sama ada dadah itu adalah diambil sebagai sebahagian rawatan perubatan.

Lee, 32, menderita kecederaan di paha, yang memerlukan beliau menerima suntikan sel stem pada Julai.

Lee mendominasi rangking dunia bertahun-tahun, tetapi gagal memenangi kejohanan dunia atau pingat emas Olimpik.

Di Denmar, beliau tewas dalam perlawanan akhir kepada pemain China, Chen Long. Di Sukan Asia di Korea Selatan pada September, beliau ditewaskan pada pertandingan separuh akhir oleh musuh gelanggangnya Lin Dan dari China.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!