Majlis Syura PAS Enggan Dedah Hasil Mesyuarat Bersabit Dua ADUN

Kuala Lumpur – Majlis Syura Ulama PAS enggan mendedahkan hasil keputusan mesyuarat berhubung rayuan dua ADUN partinya, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib) yang digantung keahlian selama setahun ekoran bertindak membelakangkan parti ketika krisis Menteri Besar Selangor.

Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh bagaimanapun hanya berkata, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat sayap itu petang tadi ‘sebulat suara’.

Beliau dalam pada itu berkata, kedua-duanya akan dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan menerusi surat yang akan dihantar selewat-lewatnya esok.

“Surat itu kita akan hantar seboleh-bolehnya hari ini. Mungkin hari ini atau esok.

“Kita kena bagi tahu kepada tuannya dulu sebagai penghormatan. Sebab itu saya maklumkan kepada pemberita tiada sidang media,” katanya ringkas kepada pemberita.

Terdahulu mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 12 Oktober lalu memutuskan untuk menggantung keahlian kedua-dua ADUN berkenaan selama setahun kerana bertindak menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor, sebelum parti mengeluarkan pendirian rasmi.

Tindakan itu diambil berdasarkan peruntukan Fasal 82 (6) Perlembagaan PAS.

Namun kedua-dua mereka berpeluang mengemukakan rayuan dalam tempoh 15 hari kepada Majlis Syura Ulama, berkuatkuasa dari tempoh penggantungan berkenaan, selari dengan peruntukan Fasal 83 (4) (5) Perlembagaan PAS.

Justeru pada 27 Oktober lalu, Saari dan Hasnul telah mengemukakan surat rayuan terhadap hukuman penggantungan selama setahun yang diputuskan Jawatankuasa PAS Pusat sebelum ini.

Surat berkenaan ditujukan kepada Mursyidul Am yang juga selaku pengerusi Majlis Syura Ulama, Nik Aziz Nik Mat untuk perhatian setiausaha Majlis Syura.

Dalam perkembangan berlainan, Nik Zawawi ketika diminta mengulas dakwaan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengatakan PAS sebuah parti yang membawa ajaran sesat dan memesongkan akidah umat Islam berkata, tidak keperluan untuk melayani pemimpin berkenaan.

“Tak apalah, itu ucapan orang yang tak berasas,” katanya sambil menyifatkan Menteri Wilayah Persekutuan itu bukan orang penting kepada negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.