Syed Saddiq buat permohonan maaf terbuka kepada bekas penasihat Najib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bekas penasihat Datuk Seri Najib Razak, Habibul Rahman Kadir Shah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Syed Saddiq, 31, ketika membacakan pernyataan maaf itu dengan ikhlas memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Habibul Rahman, 68, selaku plaintif kerana membuat kenyataan fitnah dalam sidang media di Hotel Seri Pacific pada 2 Oktober 2017.

“Dalam sidang media itu, saya merujuk kepada ancaman yang dibuat terhadap diri saya dan keluarga menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 dan menegaskan ancaman itu benar-benar berlaku terhadap saya dan keluarga.

“Namun begitu, saya menerima maklumat lanjut dan kini menyedari ketika membuat kenyataan fitnah itu, saya disesatkan oleh beberapa pihak yang menyebabkan saya percaya apa yang saya alami pada tempoh itu adalah disebabkan oleh Habibul Rahman,” katanya ketika membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Hakim Norakhmar Mohd Sani, lapor BH pada Khamis.

Syed Saddiq selaku defendan berkata, dia kesal dan memohon maaf atas kenyataan fitnahnya sehingga menyebabkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada plaintif.

“Saya mengakui bahawa kenyataan saya mencemarkan reputasi plaintif dan merosakkan imej terhormat seorang individu yang pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Perdana Menteri keenam, memegang pelbagai jawatan pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan, pengasas HKS Consultants Sdn Bhd, seorang pakar strategi korporat dan pensyarah,” ujar bekas Presiden Muda itu lagi.

Syed Saddiq mengakui kenyataan fitnahnya mengenai Habibul Rahman timbul daripada maklumat mengelirukan disampaikan kepadanya tetapi kini beliau tahu maklumat itu adalah palsu dan tidak benar.

“Saya dengan setulus hati memohon maaf tanpa syarat kepada Habibul Rahman dengan harapan permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik beliau serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi antara saya dan Habibul Rahman.

“Saya beraku janji bahawa saya tidak akan sama sekali mengulangi kenyataan fitnah dan menyinggung atau apa-apa kata kesat yang seakan-akan dengannya pada masa hadapan terhadap Habibul Rahman,” katanya.

Syed Saddiq membaca pernyataan maaf di hadapan Habibul Rahman dalam kandang saksi.

Mahkamah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan itu berdasarkan permohonan maaf defendan dan terma penyelesaian serta melapangkan tarikh perbicaraan esok.

Mahkamah sebelum ini menetapkan empat hari bermula 1 Oktober lalu untuk perbicaraan kes itu.

Terdahulu, peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Habibul Rahman memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak terbabit mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman secara baik dan defendan akan membuat permohonan maaf kepada plaintif di mahkamah terbuka.

Pada 16 November 2021, Habibul Rahman memfailkan saman terhadap Syed Saddiq atas dakwaan memfitnah plaintif dalam satu sidang media yang dihadiri pengamal media daripada pelbagai agensi berita.

Dalam sidang media itu, Syed Saddiq mendakwa terdapat konspirasi yang disokong oleh pemimpin parti yang tidak dinamakan untuk melemahkan Bersatu dengan ‘mengancam atau merasuah’ pemimpinnya.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau merancang, mengugut dan menyerang secara peribadi pemimpin pengasas Bersatu termasuk Syed Saddiq yang ketika itu Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada kepada parti berkenaan.

Sementara itu, Habibul Rahman ketika ditemui selepas prosiding berkata, berterima kasih kepada peguamnya kerana mengendalikan kes itu dengan baik dan akhirnya kebenaran dapat dibuktikan

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat