VIDEO: Tiada Perubahan Dasar Terhadap Produk SSPN, SSPN-i

CYBERJAYA – Tiada usaha yang menjurus kepada pembatalan atau pemberhentian mana-mana dasar melibatkan produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan SSPN-i.

Jaminan itu diberikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid yang memberitahu, kedua-dua produk tersebut sememangnya dijamin oleh kerajaan.

Katanya, usaha yang difokuskan adalah untuk mencari kaedah terbaik selaras hasrat kerajaan ketika ini iaitu untuk meringankan beban golongan peminjam.

Kedua-dua produk PTPTN iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dan SSPN-i Plus juga tidak akan berubah baik dari segi dasar mahupun fungsi.

Katanya, geran sepadan yang diumumkan pada Bajet 2018 oleh kerajaan terdahulu melibatkan pemberian RM500 kepada mereka yang mempunyai jumlah caruman SSPN sekurang-kurangnya RM500, juga dikekalkan.

“Saya rasa rakyat Malaysia tidak perlu risau kerana kita semua sedia maklum bahawa antara ciri-ciri SSPN adalah simpanan yang dijamin oleh kerajaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas melancarkan bas yang dihiasi gambar kartun Didi & Friends Sempena Minggu Menabung SSPN 2018 peringkat Nasional.

Mastura diminta mengulas mengenai pelan-pelan di bawah skim tersebut sama ada diubah selepas pemerintahan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Turut hadir pada program itu, Ketua Pegawai Eksekutif Durian Digital Animation Studio Sdn . Bhd. (DD Animation), Sinan Ismail.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.