Ucapan Berbayar RM50 Janna Untuk Amal

KUALA LUMPUR – Selepas menerima pelbagai respon positif dan negatif ekoran tawaran khidmat ucapan ulang tahun RM50 yang dibuat Janna Nick, pelakon wanita itu akhirnya membuat pengumuman ianya merupakan salah satu medium untuk digunakan memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Jelasnya, wang yang diterimanya untuk membuat ucapan akan disalurkan kepada tabung pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Wish for Their Hope (WFTH) sebelum diagihkan kepada rumah kebajikan, anak yatim dan gelandangan.

“Idea merealisasikan WFTH dan #wishservicebyjannanick yang membawa misi membantu insan memerlukan diilhamkan sejak empat bulan lalu. Syukur hingga ini, khidmat itu sudah mengumpul kira-kira RM2,000 sejak diperkenalkan.

“Sejak awal tahun lagi, saya sudah berniat untuk tidak memberi reaksi terhadap komen negatif, selain berazam memberi semula kepada masyarakat menerusi kerja kebajikan. Usaha ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

“Kunjungan di dua rumah kebajikan pada hari ini menjadi permulaan untuk aktiviti yang diharap dapat diadakan sebulan sekali. Insya-Allah, pada 14 Oktober ini, WFTH bakal mengunjungi gelandangan di sekitar ibu negara,” katanya selepas penyerahan sumbangan di Rumah Kasih Nurul Hasanah, di sini, pagi tadi.

Sebelum ini, banyak pihak mempersoalkan kewajaran tindakan Janna, pada masa sama, ramai mengandaikan pelakon itu merancang sesuatu selepas membuka akaun rasmi, @wishservicebyjannanick.

Mengulas lanjut Janna berkata sebelum membuat ‘gimik’ tersebut dia telah bersedia untuk menerima apa juga respon dan reaksi dan akan teruskan khidmat ucapan berbayar itu.

“Jika ada pihak yang menganggap usaha ini sebagai gimik, saya terima sahaja. Jika baik niatnya, kita anggap sahaja gimik ini ‘menjadi’. Sebelum ini, saya pernah berkongsi status di Instagram untuk membantu pihak memerlukan.

“Namun, maklum balasnya tidak serancak ini. Jadi, sambil memberikan ucapan hari istimewa, kita juga menderma. Alhamdulillah, usaha ini mendapat sokongan rakan artis seperti Mawar Rashid dan Sharifah Sakinah yang membantunya tular menerusi parodi mereka.

“Kalau usaha begini memberi inspirasi kepada selebriti lain untuk membantu, kenapa tidak? Saya juga difahamkan ramai menggunakan idea ini bagi menjana pendapatan seperti menghasilkan lagu iklan dan menjual lukisan. Tidak mengapa, itu rezeki mereka,” katanya.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.