“Rosmah Ditahan Atas Arahan Tun Mahathir”, Dakwa Lokman Adam

PUTRAJAYA – Penahanan Datin Seri Rosmah Mansor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi adalah di atas arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, demikian dakwaan Presiden Pemantau Malaysia Baharu Datuk Lokman Noor Adam. 

Dakwa Lokman, tindakan tersebut bertujuan untuk memburukkan imej mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya.

Ini kerana jelas Lokman, pada ketika Rosmah akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok, Najib juga dijangka bakal hadir ke mahkamah yang sama untuk pengurusan kesnya.

“Rosmah ditahan atas arahan Tun Mahathir di mana Najib juga bakal hadir untuk pengurusan kesnya di mahkamah esok.

“Esok juga saya difahamkan Datin Seri Rosmah akan dibawa ke mahkamah. Ia seperti mahu tunjukkan bahawa inilah pasangan buruk yang merompak wang,” katanya ketika berucap di himpunan di perkarangan bangunan Ibu Pejabat SPRM di sini.

Himpunan yang diadakan bagi menyatakan solidariti di atas penahanan Rosmah oleh SPRM itu turut disertai kira-kira 50 orang penyokong.

Tambah Lokman lagi, menerusi maklumat yang diterimanya, Rosmah mungkin akan dikenakan jumlah ikat jamin yang sangat tinggi supaya wanita itu ditempatkan di penjara sehingga hari perbicaraan. 

“Kita ada maklumat Datin Seri Rosmah tidak akan dibenarkan diikat jamin. Arahan Tun M dari United States (US) memastikan ikat jamin Datin Seri Rosmah tinggi untuk memastikan beliau ke Sungai Buloh (penjara) menunggu perbicaraan,” jelasnya. 

Sementara itu, selebriti Ellie Suriati yang turut sama hadir di himpunan malam ini berkata, pendakwaan yang dikenakan terhadap Najib dan Rosmah membayangkan kerajaan Pakatan Harapan mahu melaksanakan sistem ‘parti tunggal’ dalam negara ini. 

Pelakon itu berkata, kerajaan menjadikan SPRM sebagai kuda tunggangan dengan menggunakan isu dana politik bagi menyerang parti pembangkang. 

Rosmah ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya jam 3.20 petang tadi selepas lima jam memberi keterangan.

Rosmah bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok untuk didakwa atas beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sementara itu, Najib juga dijangka hadir ke mahkamah yang sama pagi esok untuk pengurusan kesnya bersabit tiga pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 8 Ogos lalu, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dan kes itu ditetapkan untuk sebutan semula, esok. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.