Maahad Tahfiz Fail Rayuan Saman

KOTA BHARU: Pengasas Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Datuk Adnan Hashim, yang diperintah membayar ganti rugi RM4.3 juta kepada bekas pelajarnya yang lumpuh akibat kemalangan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Kota Bharu, hari ini

Notis rayuan itu difailkan menerusi Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah & Azman di kaunter pendaftar mahkamah pada jam 11 pagi ini dengan ditemani Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Maahad Tahfiz Al Hashimi, Ismail Ishak

Akhbar sebelum ini melaporkan Mahkamah Sesyen Kota Bharu memerintahkan Maahad Tahfiz Al-Hashimi di Kuala Krai membayar ganti rugi am dan khas kerana kecuaian berjumlah RM4.3 juta, kepada bekas pelajarnya yang lumpuh akibat kemalangan pada Jun tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail memerintahkan tiga defendan iaitu pemandu van, Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 25, CT-One Corporation Sdn Bhd dan Maahad Tahfiz Al-Hashimi bertanggungjawab secara vikarius dengan membayar kos itu kepada Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 18.

Jumlah berkenaan termasuk ganti rugi terhadap Muhammad Faiz Hafizuddin yang retak saraf tunjang sehingga menyebabkan mangsa lumpuh seumur hidup serta kos pembelian lampin pakai buang, tiub makanan dan jururawat persendirian.

Sementara itu, Adnan ketika ditemui berkata, pihaknya memfailkan rayuan itu demi menegakkan keadilan.

“Kita percaya masih ada ruang untuk buat rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.

“Perkara yang kita nak rayu itu, kita akan perincikan dalam mahkamah nanti,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah, hari ini.

Menurutnya, pihaknya tidak pernah lepas tangan dalam membantu pelajar yang terbabit dalam kemalangan itu.

“Rawatan masa di hospital untuk pembedahan kita tanggung sekitar RM20,000 dan ada juga sumbangan daripada pihak lain.

“Selepas keluar hospital, kita beri bantuan dari semasa ke semasa, malah kita turut ubahsuai rumah dan katil untuk keselesaan (Muhammad Faiz) di Maahad Tahfiz,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menerima keputusan mahkamah baru-baru ini sebagai ujian dari Allah. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.