Kecewa Dengan Kenyataan Syed Saddiq

JOHOR BAHRU – Pemuda Umno Johor kecewa dengan kenyataan balas dibuat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ditujukan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kelmarin.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, kenyataan menerusi akaun Twitter dibuat Ahli Parlimen Muar itu disifatkan sebagai ‘biadab’ terhadap institusi diraja di negara ini.

“Beliau baru sahaja ‘setahun jagung’ duduk di dalam pucuk pimpinan negara, tidak ada apa sumbangan lagi pun dilihat di Muar atau Johor secara keseluruhannya, namun sudah pandai ‘bersuara’ terhadap Istana Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohd Hairi berkata, Pemuda Umno Johor juga mengingatkan Syed Saddiq bahawa nama beliau mula dikenali atas kapasiti Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sendiri semasa masih lagi baru berkecimpung dalam arena politik.

“Namun apa yang berlaku, seolah-olah ‘kacang lupakan kulit’ apabila sudah mendapat kuasa, malah secara terbuka berani membalas kenyataan Tunku Mahkota Johor,” katanya.

Beliau berkata, sebagai seseorang berstatus menteri, Syed Saddiq perlu bertindak profesional dengan mengambil semua pandangan atau kritikan sebagai dorongan untuk memperbaiki atau menambah baik sesuatu perkara, bukan menjadikannya bertambah keruh.

Sebelum ini, viral menerusi portal berita mendakwa Tunku Ismail menerusi akaun rasmi Twitternya tidak bersetuju dengan pandangan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang ‘sempurna dalam segala-galanya’.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, ‘tweet’ tersebut didakwa merujuk kepada kenyataan Syed Saddiq yang menggelarkan Dr Mahathir ‘perfectionist’ dan dimuat naik di laman sosial Facebook.

Bagaimanapun, Syed Saddiq dalam mesej Twitter kemudiannya mengulas kenyataan Tunku Mahkota Johor itu dengan berkata: “Ampun Tunku. If we keep on looking backwards, we will never be able to move forward.

Patik will always pray for Tunku’s wellbeing (Ampun Tunku, jika kita hanya memandang ke belakang, kita tidak akan dapat maju. Patik akan sentiasa mendoakan kesejahteraan Tunku).

Malah Tunku Ismail kemudiannya membuat satu ‘tweet’ menafikan kenyataan dibuat tidak menyebut (ditujukan) sebarang nama, namun boleh menjadi bahan berita. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.