Isteri Tak Tahu Isa Samad Mahu Keluar UMNO

PORT DICKSON: Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid, yang juga bekas Setiausaha Puteri UMNO, tidak terkejut dengan tindakan suaminya keluar parti.

Katanya, Tan Sri Mohd Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, tidak berbincang dengannya sebelum membuat keputusan itu tetapi tindakan berkenaan sudah dijangka.

“Sebaik Ahli Parlimen Port Dickson (Datuk Danyal Balagopal Abdullah) meletak jawatan, beliau kata ada peluang untuk UMNO atau dirinya sendiri bertanding kerana kerusi itu memang sudah lama diminta UMNO bahagian daripada MIC.

“Beliau yakin MIC akan bekerjasama demi memenangi kerusi Parlimen untuk BN. Selepas itu, beliau tidak campur tangan atau berbincang dengan kepemimpinan atasan kerana bukan lagi Ketua UMNO bahagian Port Dickson.

“Namun, apabila BN dan UMNO memboikot PRK ini, beliau buat keputusan keluar parti dan bertanding sebagai calon Bebas,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Si Rusa di sini, hari ini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengumumkan keluar UMNO secara mengejut pada 28 September lalu untuk bertanding sebagai calon Bebas apabila BN mengumumkan memboikot PRK berkenaan.

Isa ditentang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, selain empat calon Bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bibi Sharliza ada bertanya mengapa Isa sanggup meninggalkan UMNO yang menjadi darah dagingnya.

“Dia berkata keutamaannya adalah orang Port Dickson. Suami juga bertegas tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Beliau bukan seperti orang lain, hari ini lawan, esok sokong. Beliau sudah letak titik (tidak sehaluan) dengan Anwar pada 1998, sampai hari ini beliau kekal dengan pendirian itu.

“Saya tanya, kalau ditakdirkan beliau kalah dan Anwar menang, katanya itu tidak menjadi isu asalkan beliau sudah berusaha untuk melawannya,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.