Indonesia Tidak Terima Tunai, Hanya Terima Bantuan

JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia memaklumkan kepada wakil negara asing yang menawarkan bantuan susulan gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah Jumaat lalu, negaranya akan menerima bantuan dalam bentuk bekalan, kepakaran dan jentera namun mencadangkan sumbangan tunai disalurkan terus kepada Palang Merah Indonesia (PMI).

Petang kelmarin, duta dari kira-kira 20 negara dan perwakilan pertubuhan antarabangsa bertemu Timbalan Menteri Luar AM Fachir yang berkata, Indonesia bersedia menerima bantuan asing.

“Ada sekurang-kurangnya tiga bentuk bantuan, bekalan, kepakaran dan jentera, justeru kami mengenal pasti mereka dan jika mereka mahu membantu, mereka boleh maklumkan kami apa yang boleh ditawarkan,” kata Fachir kepada media selepas pertemuan itu menerui laman berita Jakarta Post.

Bantuan asing, sebaik dikumpulkan dalam inventori oleh pasukan yang melaporkan kepada Menteri Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Wiranto, akan diagihkan menerusi saluran relevan kementerian ke rantau itu, dengan sejumlah pegawai menegaskan perlunya menapis apa yang sebenarnya diperlukan.

Sementara itu, beliau berkata, PMI adalah pilihan terbaik untuk menyalurkan sumbangan langsung tunai.

“PMI boleh dipercayai dalam mengagihkan bantuan menurut keperluan,” katanya.

Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNOCHA) dalam satu penilaian diterbitkan Isnin lalu berkata, hampir 200,000 orang terdesak memerlukan bantuan kemanusiaan selepas gempa bumi magnitud 7.5 dan tsunami Jumaat lalu.

Menurut angka agensi bencana negara, gempa yang diikuti tsunami dan gegaran susulan serta pencecairan tanah, meratakan bangunan dan mengorbankan lebih 1,200 orang. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.