Angka Kematian Gempa Bumi dan Tsunami Di Sulawesi Hampir 1,400 Orang

PALU – Angka kematian dalam kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi pada Jumaat telah meningkat hampir 1,400.

Menurut pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hampir 200,000 mangsa memerlukan bantuan segera, puluhan ribu antara mereka kanak-kanak.

Lebih 66,000 rumah juga musnah atau rosak susulan gempa berukuran 7.5 magnitud dan tsunami itu.

Kini mangsa terselamat berdepan dengan dahaga dan kelaparan akibat kekurangan bekalan makanan dan air bersih selain hospital tempatan dipenuhi mangsa cedera.

“Satu yang dirasakan pasukan yang bekerja di situ adalah amat kecewa.

“Penyelamat masih tidak dapat sampai ke kawasan besar yang teruk terjejas dan mereka terus berusaha, melakukan apa yang terdaya,” kata jurucakap pejabat kemanusiaan badan dunia itu, Jens Laerke di Geneva lewat semalam.

Pihak berkuasa pada awalnya menutup sebelah mata apabila mangsa mengambil barangan keperluan asas namun terpaksa menahan beberapa individu bertindak keterlaluan dengan melarikan wang dan komputer.

“Selepas hari kedua bekalan makanan telah tiba namun sekarang kami terpaksa mengawal keadaan,” kata Timbalan Ketua Polis Negara, Ari Dono Sukmanto.

Konvoi bantuan kemanusiaan juga dilihat memasuki bandar Palu diiringi anggota tentera dan polis.

Dikhuatiri masih ada lagi mangsa yang hidup terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

“Angka kematian kini 1,374, dengan 113 lagi hilang.

“Masih ada mayat terperangkap di bawah runtuhan. Kami tidak tahu berapa banyak.

“Keutamaan adalah mencari dan menyelamatkan penduduk,” kata ketua agensi bencana kebangsaan Indonesia, Willem Rampangilei.

Pihak berkuasa menjangkakan angka kematian akan terus meningkat ketika pasukan penyelamat berjaya sampai ke kawasan yang terputus sebelum ini.

Kebimbangan pihak berkuasa ketika ini adalah merebaknya penyakit bahaya apabila mayat mula mereput. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.