Ramlee Puas Hati Prestasi Zul Ariffin

Novelis terkemuka, Ramlee Awang Murshid berpuas hati dengan prestasi lakonan yang ditampilkan oleh Zul Ariffin dalam filem Tombiruo.

Ramlee menyifatkan lakonan Zul yang membawa watak Ejim berada di tahap terbaik.

“Ejim merupakan bintang utama dalam Tombiruo. Namun begitu, dalam filem, Ejim lebih banyak berdiam tanpa dialog serta harus memakai topeng.

“Saya sendiri merasakan sukar untuk pelakon merealisasikan watak tersebut kerana Ejim harus memberikan lakonan hebat menerusi bahasa tubuh sahaja.

“Selepas menonton, saya rasakan Zul berjaya membawa watak ini dengan baik. Saya sangat berpuas hati dengan watak Ejim,” katanya, lapor Gempak.

Ketika ditanya adakah dia sudah bersedia menerima perbandingan yang dilakukan oleh pembaca novel selepas menonton filem, Ramlee ada jawapan tersendiri.

“Sukar untuk merealisasikan sebuah novel yang tebal dalam sebuah naskah filem berdurasi dua jam. Dalam novel, segalanya boleh diceritakan dengan teliti tetapi perkara tersebut mustahil untuk dibawa ke layar perak.

“Jangan risau kerana semua teras utama penceritaan novel telah dimasukkan dalam filem. Saya berharap peminat setia novel Tombiruo dapat menyokong filem ini kerana saya sendiri terlibat dengan proses produksi filem semenjak awal lagi,” katanya.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem adaptasi karya novelis thriller no 1 Malaysia, Tombiruo, di pawagam bermula 12 Oktober ini.

Filem Tombiruo membariskan Zul Ariffin, Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Atu Zero, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa dan ramai lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.