Pencapaian Peribadi Nabila Huda

Idea untuk mendaki Kem Pangkalan Annapurna (ABC) di Nepal awal bulan lalu pada mulanya sekadar untuk memenuhi salah satu senarai impian buat aktres terkenal, Nabila Huda Suhaimi.

Punca sebenar memilih mendaki puncak yang menjadi tempat berlatih pendaki profesional untuk ke Gunung Everest masih lagi kabur dalam ingatan wanita berusia 33 tahun itu.

Setakat yang dia tahu, perkara itu terlintas secara tiba-tiba dan dia nekad mahu melakukannya. Bukan untuk duit, nama atau ganjaran tetapi untuk kepuasan peribadi.

Nabila beruntung kerana disebabkan hubungan baik yang dijalinkan dengan Libero Productions sewaktu menjadi hos program Awak Kat Mana dua tahun lalu, maka mereka menawarkan khidmat percuma merakam setiap detik pendakian dengan menghantar seorang jurukamera bersamanya.

“Apa yang saya buat bukan untuk mana-mana program atau berbayar kerana ia adalah pendakian peribadi. Saya mencabar diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang saya tidak pernah buat sebelum ini.

“Saya beruntung kerana pihak Libero sudi untuk merakam antara detik istimewa saya sepanjang pengembaraan ini tapi ingin saya tekankan, ia bukanlah satu drama atau rancangan realiti yang dirancang rapi,” ujar Nabila satu persatu selepas tayangan perdana filem Tombiruo lakonannya di The Starling Mall, Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Pengajaran

Bagi peminat yang sempat mengikuti perjalanan pendakian Nabila di Instagram bermula 3 September lepas, pasti masih mampu mengingati beberapa detik penting yang terjadi terutama apabila wanita itu memuat naik videonya yang sedang menangis.

Kata pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) itu, pada saat itu dia berada dalam keadaan sangat beremosi dan kepenatan yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata.

Cerita Nabila, jika tempoh yang biasa diambil oleh pendaki profesional untuk ke puncak ABC ialah 14 hari tetapi dia yang mesra disapa Abil itu menamatkan perjalanan dalam masa empat hari sahaja kerana kekangan masa.

“Dalam tempoh itu, saya berjalan serta mendaki selama lapan jam dalam satu hari. Kalau laluannya lurus boleh dipertimbangkan, sebaliknya ia seperti mendaki tangga yang tegak berdiri.

“Itu belum ditambah dengan hujan, laluan licin dan berkabus. Saya juga mengalami simptom mabuk gunung atau mountain sickness yang membuatkan kepala rasa pening dan mahu muntah kerana kenipisan udara di tempat tinggi,” ceritanya penuh semangat sambil mengatakan jika dia muntah pada masa itu, ia boleh membawa maut.

Tambah ibu kepada Keisha Laila itu lagi, apa yang boleh disimpulkan daripada pengalaman pendakian tersebut ialah ia suatu penderaan mental yang serius bagi mereka yang tidak bersedia atau lemah semangat.

Berkali-kali dia mengangkat bendera putih dan menyatakan tidak sanggup meneruskan pendakian kerana kakinya sudah berada pada tahap kebas dan lututnya menggeletar.

Katanya, bagi yang menonton video dirinya menangis di Instagram, itu antara waktu dia mengalah, namun jurupandunya meminta dia berehat seketika dan menenangkan fikiran.

Selepas beberapa kali drama air mata berlaku, Abil berjaya melepasi halangan untuk ke puncak. Sebaik melihat pemandangan dari atas puncak, ternyata ia sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan kekayaan.

“Saya bangga kerana berjaya menolak diri untuk menamatkan pendakian tanpa latihan,persediaan atau pengalaman rapi. Ia suatu pencapaian yang berbeza yang pernah saya rasa dalam hidup.

“Pengalaman ini banyak menyedarkan saya terutama dari segi ketahanan mental, tahap kesabaran diri dan juga belajar menghargai perkara-perkara kecil yang selama ini diabaikan,” katanya sambil tersenyum.

Puas hati

Selesai berkongsi rasa tentang pendakian solonya di Annapurna, anak kepada legenda rock Amy Search itu sempat juga meluahkan rasa puas hati terhadap filem Tombiruo.

Menurut Abil, berlakon bersama produksi filem tersebut adalah pengalaman kali pertama dia datang ke set tanpa perlu membuang masa atau menunggu lama.

Katanya, layanan yang diterima di set juga sangat menyenangkan dan Abil berasa itu antara faktor mengapa pengalaman bekerja dalam Tombiruo tiada yang tidak menyeronokkan.

Semua orang termasuk pelakon mempunyai tahap disiplin yang tinggi serta bersikap sangat profesional, sekali gus menjadikan perjalanan penggambaran langsung tidak menyukarkan.

Apabila ditanya adakah sukar membawa watak Wan Suraya, dia berkata, secara jujur fokus filem ini lebih kepada watak Zul Ariffin sebagai Tombiruo, jadi karakternya sebagai seorang wartawan tidak sebesar mana.

“Saya rasa tiada masalah membawakan watak Wan Suraya kerana karakter saya tidak seberat Zul atau Farid sebagai Amiruddin.

“Cuma, ada babak-babak pertarungan yang melibatkan saya terutama dalam waktu hujan sedikit sukar kerana badan sejuk menggeletar disiram pili bomba, itu sahaja,” ujarnya yang melakonkan sendiri lagak ngeri seperti dilempar ke arah batu dalam beberapa babak pergaduhan.

Selain itu, Abil turut memberitahu, keserasian yang timbul antara dia dan Zul serta Farid juga berlaku secara semula jadi kerana masing-masing tahu apa yang perlu dilakonkan.

Tambah Abil, dia berharap filem Tombiruo yang akan ditayangkan bermula 12 Oktober ini berjaya memanggil seluruh peminat filem dan novel dengan judul serupa ke pawagam.

Sebagai salah seorang pelakon, dia dapat menyaksikan komitmen yang diberi oleh seluruh kru dan secara peribadi berasa bangga diberi peluang berlakon dalam sebuah karya yang hebat seperti itu.

“Secara jujur diakui, saya kagum dengan hasilnya yang melambangkan kerja keras kami sebelum ini,” ujarnya penuh harapan seraya menutup perbualan.-kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.