Kenangan Koma Ubat Rindu Mahadzir Lokman

Menurut Dr. Zamzuri Idris, Pakar Bedah Otak dari Jabatan Neurosains, Universiti Sains Malaysia, koma ialah suatu keadaan yang menyaksikan pesakit tidak memberi tindak balas kepada persekitaran dan tiada komunikasi dengan dunia luar.

Pesakit kelihatan seperti tidur tetapi sebenarnya mereka telah melewati keadaan tidak sedarkan diri yang lebih jauh daripada tidur.

Begitulah situasi yang dialami oleh pengacara kesayangan ramai, Datuk Mahadzir Lokman apabila beliau dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada pagi 24 September lalu.

Tempoh empat hari tidak sedarkan diri atau koma, Mahadzir telah mengundang pelbagai resah dan gundah dalam kalangan ahli keluarganya yang sentiasa setia menemani di sisi.

Doa peminat, sahabat dan sanak saudara akhirnya terjawab apabila beliau mula memberi respons serta membuka mata pada tanggal 27 September lalu.

Namun, di sebalik kegembiraan keluarga dengan berita tersebut, lelaki berusia 60 tahun itu sebenarnya bangun dengan satu perasaan yang sayu mengenangkan memori yang terpahat dalam tempoh rohnya menjelajah keluar dari dunia manusia.

Ikuti perkongsian Mahadzir tentang apa yang dialami ketika berada dalam koma dan ketahui mengapa dia berasa syukur dipilih Allah untuk ‘ditidurkan sementara’.

KOSMO!: Bagaimanakah keadaan Mahadzir sejak sedar daripada koma minggu lalu?

MAHADZIR: Alhamdulillah, saya semakin pulih dan tahap kesihatan juga menunjukkan peningkatan positif. Doktor menjangkakan saya masih perlu berada di wad dalam tempoh seminggu atau kurang untuk memastikan keadaan tubuh saya lebih baik.

Bolehkah anda mengingati apa yang berlaku semasa berada dalam keadaan koma?

Secara jelas, saya tidak tahu saya koma. Bagaimanapun sepanjang tidak sedarkan diri, saya rasa seperti berada dalam satu pelayaran.

Apa yang saya boleh ingat ialah saya bangun pada satu persekitaran yang lapang serta luas seperti di tengah-tengah lautan.

Perasaan pada masa itu cukup mendamaikan dan apabila mengamati keadaan sekeliling, perlahan-lahan saya mulai perasan akan kehadiran wajah arwah bapa, Datuk Lokman Musa, ibu, Datin Nina Khadijah Abdul Rahman, kakak, Fouziah Lokman dan abang, Fadhil Lokman.

Apakah perasaan anda apabila menyedari kehadiran ahli keluarga itu?

Saya seperti mahu menangis kerana gembira dapat menatap wajah-wajah kesayangan yang telah lama meninggal dunia. Masih jelas terbayang mereka tersenyum melihat ke arah saya dan betapa rindunya hati ini pada mereka.

Adakah anda sempat menyatakan sesuatu kepada mereka?

Saya kurang pasti apa yang cuba saya beritahu pada masa itu tetapi saya ingat bahawa kebanyakan pertanyaan saya tidak dibalas dan mereka lebih banyak melemparkan senyuman sahaja.

Berapa lamakah masa yang anda rasa sewaktu mengalami peristiwa itu?

Sangat sekejap, malah saya terkejut apabila ahli keluarga memaklumkan sudah empat hari koma sedangkan sewaktu berada di atas pelayaran itu, tempohnya tidak lebih daripada lima minit.

Saya buka mata, berjumpa dengan ahli keluarga dan tiba-tiba terasa diri terpelanting jauh daripada mereka. Apabila saya membuka mata sekali lagi, saya berada di hospital dan dikelilingi keluarga.

Adakah anda menceritakan apa yang berlaku kepada ahli keluarga?

Ya, saya juga ada bertanyakan kepada ustaz tentang apa yang dialami sewaktu koma.

Menurut ustaz, perkara itu sememangnya kerap berlaku kepada orang koma kerana roh mereka mungkin sampai ke alam yang sukar ditafsirkan manusia biasa.

Apakah iktibar yang anda ambil daripada keseluruhan kejadian ini?

Saya bersyukur dan berasa bertuah kerana Allah masih sayangkan saya, memberi peluang saya mengubat kerinduan pada ahli keluarga yang sudah tiada dan tetap mengembalikan roh saya ke dalam jasad.

Sampai bila-bila pun saya akan ingat perasaan bahagia bertemu mereka walaupun hanya sekejap sahaja. Saya tidak sedih diberikan ujian ini kerana ada ganjaran tidak ternilai yang turut dihadiahkan di sebalik semua yang berlaku.

Sesungguhnya Allah itu Maha Besar, Maha Berkuasa dan Maha Penyayang.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.