KDN Haramkan Buku Zunar, Faisal Tehrani, Wan Ji

KUALA LUMPUR — Buku kartunis politik Zunar antara beberapa karya tempatan yang diharamkan Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini.

Larangan buku kartun “Sapuman: Man of Steal” karya kartunis itu, yang menggunakan nama Wan M Deebee, diwartakan hari ini, lapor MMO.

Zunar, nama pena popular Zulkiflee Anwar Ulhaque, adalah seorang kartunis berpengalaman sejak 1980-an.

Warta pengharaman buku pada 28 September lalu turut membabitkan sasterawan Faisal Tehrani dan aktivis politik PKR Wan Ji Wan Wan Hussin.

Perintah kawalan “Aku___, Maka Aku Ada!” karya Faisal dan “Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi” karya penceramah agama itu ditandatangani oleh menteri berkenaan pada 6 September lalu.

Beberapa karya kreatif Faisal telah diharamkan sejak beberapa tahun lalu, antaranya dengan alasan menyebar ajarah Syiah.

Empat bukunya diharamkan pada 2015: novel “Sebongkah Batu di Kuala Berang”, tesk drama pentas “Karbala”, himpunan cerpen “Tiga Kali Seminggu” dan kumpulan puisi “Ingin Jadi Nasrallah”.

Sebelum ini media melaporkan empat buku berkaitan Islam dilarang pada hujung bulan lepas, termasuk dua karya penulis Turki, Mustafa Akyol.

Seperti buku-buku lain, “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty dan terjemahannya “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan” diharamkan atas alasan “mungkin memudaratkan ketenteraman awam” dan “mungkin menggemparkan fikiran orang ramai”.

Mustafa hujung bulan lalu ditahan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

Dua buku pengasas Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa, yang mengundang Mustafa berucap di sini, juga diharamkan oleh KDN.

Larangan “Wacana Pemikiran Reformis Jilid 1” dan “Wacana Pemikiran Reformis Jilid 2” dibuat dengan alasan sama pada tarikh sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.