Anak Dilarikan Pencuri Kereta

JITRA – Seorang bapa berdepan detik cemas apabila anak perempuannya berusia empat tahun dilarikan penjenayah bersama kereta miliknya dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Taman Mahsuri di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu berlaku ketika lelaki berusia 33 tahun terbabit pergi ke tandas di bahagian belakang stesen minyak dengan meninggalkan anaknya di dalam kereta yang tidak berkunci serta enjin tidak dimatikan, kosmo.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim memberitahu, mangsa yang keluar dari tandas kira-kira lima minit kemudian terkejut apabila mendapati kereta jenis Honda Civic Hybrid miliknya telah hilang.

“Mangsa kemudian ternampak anak perempuannya itu sedang menangis kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Kata beliau, kanak-kanak terbabit ditemui dalam keadaan baik dan tidak dicederakan.

“Mangsa turut kehilangan komputer riba, wang tunai RM1,000 dan dokumen peribadi yang ditinggalkan di dalam kereta tersebut,” ujarnya.

Menurut Mohd. Ismail, semakan televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati tiga suspek menaiki kereta Proton Wira berhenti mengisi minyak di stesen minyak sama.

“Salah seorang suspek kemudian pergi ke tandas stesen minyak dan dilihat meninjau kawasan sekitar sebelum melarikan kereta mangsa,” katanya.

Tambahnya, pihaknya sedang giat memburu tiga suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana cubaan menculik dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.