Ahli Desak DAP Lebih Telus Dalam Pemilihan Semula Anggota CEC

KLANG – Seorang bekas pemimpin bahagian DAP mendesak kepemimpinan parti itu untuk lebih telus dalam pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dan mengumumkan senarai calonnya.

L P Selvam, yang sebelum ini menjadi naib pengerusi DAP bahagian Ehsan (Klang) berkata, parti itu juga tidak sepatutnya melengah-lengahkan pemilihan semula itu berikutan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hampir menjelang.

“Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah mengarahkan DAP untuk membuat pemilihan semula CEC, selepas mendapati keputusan pemilihan semula CEC pada 2012 tidak sah.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini, kepemimpinan DAP masih keberatan untuk memberitahu ahli tarikh sebenar dan lokasi pemilihan semula ini.

“Sebagai perwakilan, kami berhak mendesak DAP untuk mematuhi arahan ROS, iaitu mengadakan pemilihan semula seperti pada 2012, yang bermakna mereka perlu mematuhi Kongres Nasional dan memberi notis 10 minggu sebelum pemilihan semula.

“Mereka juga perlu mendedahkan siapa 20 calon itu… Bagaimana kami boleh berkempen dan memilih mereka jika kami tidak dimaklumkan siapa mereka? Peringkat akar umbi mempunyai hak untuk memilih pemimpin pilihan kami dan menyingkirkan yang tidak bermoral,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Selvam yang mendakwa masih ahli DAP berikutan CEC yang memecatnya pada 2013 tidak diiktiraf, berkata parti itu mungkin kehilangan peluang untuk bertanding dalam BRU-14 jika pilihan raya diadakan sebelum pemilihan semula CEC.

“Adakah kepemimpinan DAP sedang mencuba nasib sekali lagi dalam isu pemilihan semula ini dengan menyalahkan parti lain?

“Saya percaya kelewatan mengadakan pemilihan semula ini berikutan ada pemimpin atasan dalam DAP yang takut mereka akan kehilangan kedudukan, termasuk (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng, kerana mereka tahu ahli parti tidak gembira dengan apa yang berlaku.

“Lim Kit Siang ( Ketua Ahli Parlimen DAP) juga mendiamkan diri membabitkan perkara ini,” katanya.

Selvam yang dipecat dari DAP kerana bertanding atas tiket bebas pada PRU-13, berkata beliau dan ahli DAP lain memberi parti itu tempoh sebulan untuk menjawab persoalan berkenaan.

Katanya, jika kepemimpinan parti gagal berbuat demikian, mereka akan mengambil tindakan seterusnya yang akan diumumkan kemudian. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.