11 Buruh Indonesia Menangis Diselamatkan, Selepas 3 Tahun Dikurung

MIRI — Polis berjaya menyelamatkan 11 warga Indonesia yang menjadi buruh paksa di Bintulu, bekerja membersihkan sarang burung tanpa dibayar gaji selama tiga tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak  Datuk Dev Kumar berkata mereka ditemui dalam bilik kecil di sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Heng, Jalan Sebiew Bintulu pukul 2.45 petang semalam.

“Sebelas warga Indonesia terdiri daripada dua lelaki dan sembilan wanita berusia 18 dan 44 tahun itu ketika ditemui polis menangis dan merayu untuk diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata  siasatan awal mendapati 11 mangsa dipaksa oleh suspek sepasang suami isteri untuk membersihkan sarang burung, dikurung selama tiga tahun dan tidak dibenarkan keluar langsung.

“Mereka tidak dibayar gaji dan kadangkala dipukul oleh kedua-dua suspek jika kerja yang dilakukan  mangsa tidak memuaskan,” katanya.

Beliau berkata hasil maklumat orang awam, JSJ Bintulu yang diketuai Inspektor Nixon Malang telah menjalankan serbuan di rumah tersebut, memotong mangga pintu hadapan rumah itu untuk masuk sebelum memecahkan pintu sebuah bilik khas yang dikunci dari luar, tempat kurungan 11 warga Indonesia tersebut.

“Pemilik rumah yang juga suspek pasangan suami isteri berusia 59 tahun (lelaki) dan 53 tahun (wanita) turut berada di dalam rumah itu dan ditangkap di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM),” katanya.

Menurut Dev Kumar, ketika serbuan dilakukan, suspek wanita bertindak agresif dengan mengugut pasukan polis, serta mengeluarkan kata-kata lucah.

“Perintah tahanan reman akan dipohon di Mahkamah Bintulu pagi ini manakala mangsa akan dihantar ke rumah perlindungan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.